April 7th, 2012Dunia Luar, Gambaradmin 0 Comments

SEBAHAGIAN daripada harta karun yang ditemui di perairan Indonesia
merupakan barangan kemas.

 

JAKARTA – Harta karun bernilai AS$80 juta (RM241.8 juta) yang ditemui di dalam sebuah kapal yang karam di perairan Indonesia 1,000 tahun dahulu sekali lagi akan dijual.

Dikenali sebagai Harta Karun Cirebon, ia ditemui di dalam bangkai sebuah kapal dekat Pelabuhan Cirebon di Pulau Jawa dan mengandungi sekitar 250,000 objek berharga termasuk kristal, mutiara dan emas.

“Harta karun ini adalah yang terbesar pernah ditemui di Asia Tenggara berdasarkan kualiti atau kuantiti,” kata Pengarah Cosmix Underwater Research Ltd., Luc Heymans dalam satu e-mel kepada agensi berita Assoicated French Press.

Syarikat berkenaan yang beribu pejabat di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu bertanggungjawab mengangkut harta karun itu dari dasar laut.

Harta karun itu ditemui dari bangkai sebuah kapal sedalam 57 meter oleh beberapa nelayan Indonesia.

Kira-kira 22,000 selaman dilakukan di antara April 2004 dan Oktober 2005 yang dibiayai syarikat berkenaan selepas pihak berkuasa Indonesia memberikan kebenaran untuk mengangkut harta karun berkenaan.

Firma berkenaan gagal mencari pembeli apabila harta karun tersebut dijual pada satu lelongan di Indonesia pada tahun 2010.

Ia kemudian dieksport ke Singapura.

“Harta karun itu akan dijual di Singapura,” kata Heymans.

 

 

 

 Berita Akhbar Sebelum ini

Sebanyak 24 batu kristal berusia 1,000 tahun yang merupakan antara harta karun yang ditemui dari bangkai sebuah kapal karam di perairan utara Cirebon, Jawa Barat, Indonesia.

Menurut Ketua Pengarah PT Paradigma Putra Sejahtera, Adi Agung Tirtamarta, batu tersebut akan dilelong bersama semua harta karun itu.

“Di dunia, cuma terdapat 40 batu kristal. Harta karun yang ditemui di Cirebon itu cuma mempunyai 24 batu kristal,” kata Adi yang menyewa sebuah kandang kuda di Pamulang untuk dijadikan tempat simpanan harta karun itu yang ditemui oleh sekumpulan nelayan Indonesia pada 2004.

Syarikat milik Adi itu mengendalikan lelongan harta karun itu secara pukal dan tidak satu persatu.

Harga minimum lelongan itu ialah AS$80 juta (RM254.8 juta).

Adi berkata, batu kristal itu dipercayai berasal dari Dinasti Fatimiyah yang merupakan keturunan keluarga anak perempuan Nabi Muhammad SAW iaitu Siti Fatimah dan suaminya, Ali bin Abi Talib.

Siti Fatimah merupakan puteri bongsu Nabi Muhammad bersama isteri pertama baginda, Siti Khadijah.

Harta karun itu merangkumi 271,000 batu delima, mutiara, emas, batu kristal, barangan kaca Iran dan tembikar Maharaja China berusia 976 Tahun Masihi.

Namun, seorang pegawai di Kementerian Hal Ehwal Maritim Indonesia, Sudirman Saad berkata, pada Isnin lalu tidak ada seorang pun pembida yang telah membayar deposit sebanyak AS$16 juta (RM51.41 juta) atau 20 peratus daripada harga lelongan minimum.

“Terdapat 20 orang yang berminat untuk menyertai lelongan itu termasuk dari luar negara.

“Pembida yang berminat itu datang dari Singapura, Beijing, Hong Kong, Malaysia dan Jepun,” katanya.

Menurutnya, setakat ini, tidak ada pembida yang meletakkan wang deposit tetapi lelongan itu akan tetap diadakan pada masa itu.

“Jika tidak ada pembeli, lelongan itu akan diadakan buat kali kedua,” katanya.

Pemerintah Indonesia akan mengambil 50 peratus hasil lelongan manakala bakinya akan dibahagikan di antara pihak yang terlibat menemuinya termasuk pemburu harta karun, Luc Heymans..

Leave a Reply

Pelajari Ilmu Emas Dahulu

Categories

PING & SPONSOR