Sindiket Emas Ar-Rahnu Terbongkar – Dalang Dikenalpasti

sindiket-emas-palsu

KUALA LUMPUR 25 Julai – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendedahkan modus operandi dalam kes sebuah bank tempatan ditipu RM75 juta baru-baru ini, adalah dengan menyadur kepingan tembaga menggunakan emas tulen.

Disebabkan itu, pihak bank gagal mengesan ketulenan emas berkenaan ketika membuat tapisan pertama melalui timbangan menyebabkan pinjaman diluluskan.

Lebih licik, sindiket itu mempergunakan penduduk kampung dengan menawarkan upah RM300 hingga RM800 seorang bagi mencagarkanemas palsu tersebut ke sistem pajak gadai Islam, Ar-Rahnu.

Sejurus pinjaman diluluskan dan pembayaran dibuat, wang tersebut akan diserahkan kepada sindiket dan wang upah akan diberikan kepada penduduk kampung tersebut.

Bagaimanapun, selepas tempoh tertentu dan melalui ujian seterusnya menerusi Unit Penyiasatan Kewangan, pihak bank menyedari terdapat tembaga di dalam emas berkenaan sehingga membawa kepada terbongkarnya kegiatan sindiket terbabit.

Sindiket penipuan berkenaan dipercayai menggunakan modus operandi sama di cawangan-cawangan bank tersebut di seluruh negara.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Syed Ismail Syed Azizan, kes yang sama dilaporkan membabitkan enam negeri iaitu di Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur, Perak, Kedah dan Melaka.

Katanya, beberapa tangkapan telah dibuat untuk membantu siasatan kes itu tetapi beliau enggan mendedahkan bilangan mereka terlibat.

Beliau turut enggan mendedahkan secara terperinci pecahan kerugian dan bilangan kes dilaporkan di negeri-negeri terlibat kerana siasatan masih dijalankan.

“Polis akan menemui pegawai bank tempatan berkenaan esok, bagi membincangkan kelemahan yang boleh diatasi dalam sistem pajak gadai tersebut.

“Kes tersebut masih dalam peringkat siasatan dan operasi memburu suspek sedang dijalankan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua JSJK Pulau Pinang, Asisten Komisioner Roslee Chik berkata, sebanyak 14 laporan diterima membabitkan jumlah kerugian sebanyak RM5.2 juta dialami cawangan bank tersebut di negeri itu.

“Seramai 43 penduduk kampung di Daerah Barat Daya negeri dikesan telah dipergunakan sindiket berkenaan untuk mencagar emas palsu yang dibekalkan kepada mereka.

“Seorang individu dipercayai orang tengah yang berperanan mempengaruhi orang kampung berkenaan turut diambil keterangan bagi membantu siasatan, semalam,” katanya lagi.

Jelas Roslee, dalang kes itu telah dikenal pasti dan sedang diburu.