Golongan Muda Mula Melabur Emas

Tekanan akibat peningkatan kos sara hidup ditambah pula penurunan nilai mata wang ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat ketika ini menyukarkan ramai rakyat Malaysia, dan mereka yang merasa cukup yakin, mengambil langkah menyimpan di luar negara atau membuat pelaburan emas.

Ini termasuk seorang pelajar kolej, Muhammad Syarifuddin Mohd Jamil, 21, yang juga seorang peniaga emas sambilan.

Pelajar kejuruteraan University of Wollongong di Australia itu mula melabur sejumlah kecil emas awal tahun lepas, selepas mengetahui mengenainya daripada satu seminar kewangan di Sydney.

Selepas menghadiri seminar itu, Syarifuddin berkata, beliau merasakan terdapat keperluan untuk melakukan simpanan walaupun sedang belajar.

Pelajar University of Wollongong, Australia Muhammad Syarifuddin Mohd Jamil berkata ada keperluan membuat simpanan walaupun sedang belajar. – Gambar Facebook, 13 Oktober, 2015. - See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/golongan-muda-giat-labur-emas-di-tengah-tengah-ketidaktentuan-ekonomi#sthash.NXRpy2HL.dpuf
Pelajar University of Wollongong, Australia Muhammad Syarifuddin Mohd Jamil berkata ada keperluan membuat simpanan walaupun sedang belajar. – Gambar Facebook, 13 Oktober, 2015

“Saya berminat dalam hartanah tetapi saya tidak mampu untuk membeli hartanah. Lalu saya membuat kajian dan mendapati emas dan perak pelaburan terbaik, ia lebih sesuai dan lebih mudah untuk saya perolehi” katanya dalam satu temubual.

“Pergolakan politik di negara ini membimbangkan saya. Saya tahu tiada apa yang saya boleh lakukan sebagai seorang pelajar kecuali mula membuat perubahan kecil bagi menjamin masa depan saya.

“Jadi, saya mula membeli emas 1 dinar (4.25g) dengan ketulenan 91.6. Ia diikuti satu lagi dinar emas dengan ketulenan 99.9,” kata Syarifuddin yang berasal dari Pulau Pinang.

Pelajar itu pada mulanya mendapat tentangan dari keluarganya, yang bimbang dia akan menjadi mangsa kepada sindiket penipuan.

Tetapi simpanan emasnya meningkat daripada satu dinar hingga 10 dinar.

Dia juga bertemu dengan seorang peniaga yang kemudiannya menjadikan beliau sebagai anak murid selepas mendapat tahu beliau begitu bersemangat.

“Dia memberi kepercayaan kepada saya dan itu membuatkan saya mahu melakukan lebih baik bagi menunjukkan orang muda seperti saya juga memikirkan tentang masa depan.

“Bukan saja mahu mendapatkan pendidikan yang baik tetapi juga untuk memperoleh kekayaan semasa belajar,” kata Syarifuddin yang mengakui mahu menjadi jutawan sebelum umur 30 tahun.

Beliau kini mempunyai pekerjaan sebagai peniaga emas dengan sebuah syarikat di Malaysia, sambil belajar di luar negara.

Katanya, berniaga di luar Malaysia tidak mustahil selagi ada sambungan Internet yang baik.

“Syarikat ini beroperasi 24 jam. Ia membolehkan orang ramai membeli emas pada bila-bila masa setiap hari. Anda boleh menyimpan dalam akaun emas yang disokong emas fizikal, atau menempah emas sebenar,” kata Syarifuddin.

Dia masih membeli emas dan menggunakan komisen yang diperoleh daripada memperkenalkan pelanggan baharu untuk melabur semula dalam logam berharga itu.

Dengan hampir 100 pelanggan yang membeli emas melaluinya bernilai lebih RM200,000 dalam 10 bulan lalu, Syarifuddin berkata keluarganya akhirnya memberikan sokongan selepas melihat kejayaannya.

Beliau juga mengajar rakannya yang lain mengenai nilai membuat pelaburan dalam emas demi masa depan.

“Kita tidak mempunyai wang yang banyak tetapi jika kita boleh mendisiplinkan diri kita membeli sekecil 1 gram sebulan sudah cukup baik,” katanya.

Pelaburan emas di tengah ketidakpastian

Pakar kewangan dan pelaburan Shan Saeed berkata, trend anak muda melabur dalam emas semakin berkembang ketika ramai daripada mereka sedar kepentingan membuat simpanan dalam bentuk aset selain wang tunai.

Ketua Pakar Ekonomi IQI Holdings Shan Saeed bercakap mengenai trend anak muda melabur dalam emas ketika ditemubual, baru-baru ini
Ketua Pakar Ekonomi IQI Holdings Shan Saeed bercakap mengenai trend anak muda melabur dalam emas ketika ditemubual, baru-baru ini

Ketua pakar ekonomi IQI Holdings itu berkata, beliau memerhatikan peningkatan 20% dalam pelaburan emas di kalangan rakyat Malaysia dalam tempoh 4 tahun lepas, di mana anak muda dan pelajar memilih membeli emas manakala golongan dewasa yang berusia 30-an dan 40-an gemar melabur dalam sektor hartanah.

“Jika anda mahu melindungi wang anda, emas, perak dan hartanah adalah simpanan yang dapat menyelamatkan anda ketika zaman berisiko ini,” kata Shan dalam satu wawancara.

Pelajar kejuruteraan mekanikal Ahmad Sayuti Abu Khuzafar, 22, merupakan satu lagi contoh anak muda yang menceburi pelaburan ini.

Pelajar Universiti Teknikal Malaysia (UTeM) Melaka itu berkata beliau terdorong untuk melabur dalam emas, walaupun sedang belajar, dengan harapan kehidupan selepas tamat pengajian tidak begitu membebankan.

“Saya membeli emas beberapa bulan lalu. Saya mula berfikir tentang pelaburan emas selepas bersembang dengan kawan-kawan di kedai kopi,” kata Sayuti.

Anak muda dari Perak itu berkata, beliau terpengaruh untuk melabur dalam emas selepas melakukan banyak penyelidikan serta atas nasihat seorang pencadang.

“Mempunyai wang tunai adalah baik tetapi melihat bagaimana ringgit kita menyusut berbanding dolar Amerika Syarikat sejak beberapa bulan lalu membuat saya merasa tidak selamat tentang masa depan saya.

“Emas sentiasa menjadi mata wang yang sebenar, jadi saya fikir mengapa tidak. Ini bukan emas kertas. Ini fizikal dan saya membelinya dari sebuah syarikat terkemuka. Saya cuba untuk membeli sekurang-kurangnya 1 gram sebulan,” katanya.

Ditanya sama ada beliau mempunyai matlamat khusus untuk simpanannya itu, Sayuti berkata beliau mahu mempunyai sekurang-kurangnya emas yang mencukupi supaya selepas tamat pengajian beliau mampu menggunakan simpanannya sebagai wang pendahuluan untuk memiliki kereta, atau pangsapuri, atau membayar pinjaman pelajarannya.

Ia antara perkara yang semakin ramai graduan muda Malaysia berkata, mereka tidak mampu untuk membayarnya dengan gaji permulaan mereka.

Menyimpan di luar negara

Jeva dan anak saudaranya, Sree, bukan saja melabur dalam emas tetapi dalam deposit tetap dan mempunyai akaun simpanan dolar Amerika Syarikat di India dan Singapura.
Enggan memberikan nama penuh mereka, Jeva, seorang ahli perniagaan dan Sree, seorang eksekutif syarikat minyak dan gas, berkata kebanyakan pelaburan emas mereka dibuat di India, di mana kadar faedahnya lebih baik.

“Kadar faedah di sana lebih baik. Kami juga mempunyai harta sendiri di sana kerana kami memang sering ke India,” kata Jeva.

Tahun lepas, keluarga mereka memutuskan untuk melabur dalam mata wang Amerika Syarikat di Singapura.

“Ia satu akaun bersama di kalangan adik-beradik. Kami rasa kami perlu mempelbagaikan pelaburan kami,” kata Sree.

Jeva berkata, ketidakstabilan ekonomi semasa menjadikan mereka lebih berhati-hati untuk melabur di Malaysia.

“Kami mempunyai beberapa pelaburan di sini tetapi kami juga meletakkan wang di tempat lain. Pada usia ini, saya tidak fikir saya akan berhijrah. Malaysia masih kampung halaman kami biarpun banyak masalah berlaku.

“Saya buat ini semua untuk anak-anak saya,” kata Jeva, bapa kepada dua anak.

Pakar ekonomi Shan berkata, tidak mengejutkan rakyat Malaysia semakin gemar mengumpul aset dan membuat simpanan di luar negara.

Tetapi masih ramai yang melabur di Malaysia, terutamanya dalam sektor hartanah, bon logam dan juga karya seni, katanya.

Katanya, Malaysia masih mempunyai asas ekonomi yang kukuh, secara amnya, dan dianggarkan 95% daripada rakyat Malaysia masih mempercayai pelaburan dalam negara.

Walaupun rakyat Malaysia berkecimpung dalam portfolio yang berbeza, sektor seni semakin menjadi satu trend baru, biarpun hartanah dan saham kekal menjadi keutamaan.

“Tetapi oleh kerana kedudukan saham sangat tidak menentu sekarang, pelabur yang faham akan membawa keluar saham mereka dan berpindah ke pelaburan hartanah,” katanya.

Beliau berkata, 4 tahun lalu menyaksikan peningkatan sebanyak 50% dalam pelaburan hartanah oleh rakyat Malaysia.

Ringgit merosot kepada nilai terendah dalam tempoh 17 tahun dan merupakan mata wang paling teruk terjejas di Asia Tenggara.

Selain harga komoditi yang tertekan dan faktor luaran lain, terdapat juga kebimbangan Malaysia kemungkinan sekali lagi terdedah kepada serangan spekulatif.

Rakyat Malaysia kelas pekerja sekian lama bergelut dengan kos hidup yang tinggi, ditambah pula dengan pengenalan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) pada kadar 6%, April tahun ini