Harga emas merosot, pelombong tingkat pengeluaran

aus-stock

MELBOURNE – Pelombong emas di Australia telah bertindak balas kepada harga yang semakin merosot dengan mengeluarkan lebih banyak logam itu untuk suku kedua berturut-turut.

Pengeluaran emas naik empat peratus kepada 69.5 tan metrik pada tiga bulan hingga hujung September.

Ini adalah satu kenaikan 12 peratus daripada 62 tan metrik pada suku September 2012.

Pengeluar emas menyasarkan gred yang lebih tinggi semenjak harga emas merosot awal tahun ini untuk melindungi margin mereka, kata Dr Sandra Close, pengarah syarikat perunding Surbiton Associates, menurut Australian Associated Press.

Sepanjang tempoh satu dekad peningkatan harga emas antara 2001 dan 2011, pengeluar emas telah mengurangkan gred bijih mengakibatkan kenaikan kos tunai, kata beliau.

Harga emas merosot daripada US$1,580 satu auns kepada US$1,190 pada suku Jun, dan telah kekal pada jajaran sempit semenjak itu.

Pelombong emas terbesar Newcrest Mining terjejas terus dengan kerugian berbilion dolar yang mengakibatkan harga sahamnya merosot 65 peratus tahun ini. – Bernama