41 Telefon Bimbit Bersamaan 1g Emas

Samsung Galaxy S5 in blue, gold and black
LONDON – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam satu laporan mengenai sisa elektronik menyatakan, sebanyak 1 gram emas digunakan dalam pembuatan 41 buah telefon bimbit, lapor Perbadanan Penyiaran British (BBC) kelmarin.

Pada bulan lalu, perkara serupa dinyatakan oleh Pesuruhjaya Eropah Tentang Alam Sekitar, Janez Potocnik.

“Terdapat emas dalam sisa buangan (telefon bimbit),” katanya ketika berucap membentangkan sasaran program kitar semula Kesatuan Eropah (EU).

“Sebanyak 1 tan bijih diperlukan untuk mendapatkan hanya 1 gram emas tetapi jumlah sama boleh diperoleh dengan mengitar semula 41 buah telefon bimbit,” tambahnya.

Ketika diminta mengulas laporan PBB dan EU tersebut, firma teknologi di Brussels, Umicore dalam satu temu bual bersama BBC berkata, jumlah 1 gram emas itu terkandung dalam cuma 35 buah telefon bimbit.

Berdasarkan harga pasaran semasa, sebuah telefon bimbit mengandungi emas bernilai sekitar AS$1.67 (RM5.30).

Kesedaran itu mendorong Potocnik untuk menggesa program kitar semula lebih efektif melibatkan 600 juta tan bahan boleh diguna yang terkandung dalam sisa buangan di Eropah.

“Kami mencadangkan untuk menjadikan EU sebagai masyarakat tanpa pembaziran,” katanya.

Mengulas isu sama seorang pakar Britain, Dave Holwell memberitahu, kira-kira 2,700 tan emas dihasilkan pada setiap tahun di seluruh dunia atau sekitar 7.4 tan sehari.

“Kita boleh mendapat jumlah sama dengan mengitar semula 300 juta telefon bimbit,” katanya. – Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0817&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz3BNh3CC34
Hakcipta terpelihara