Hearts Of Fire, Potongan Berlian Terkenal

Hearts-on-Fire-7-Rings

ILLARIA Lanzoni, mungkin nama yang agak asing di negara ini. Namun wanita kelahiran Itali mula mencipta nama sebagai pereka barang kemas sejak berkhidmat di Garrads, London. Menceritakan jatuh bangun beliau dalam industri rekaan berlian, Lanzoni berkata semuanya bermula secara kebetulan.

Pada usia 13 tahun,  dia memilih mengambil jurusan rekaan barang kemas di sekolah reka bentuk dan seni bina.

“Ketika kecil saya sangat suka berimaginasi. Daripada itu saya membuat rekaan sendiri,” katanya kepada mStar Online dalam satu temubual eksklusif di Bangsar Village baru-baru ini.

Mengenai kehidupan peribadinya, Lanzoni berkata dia bukanlah berasal dalam keluarga yang berada, kerana ibunya hanya bekerja sebagai tukang jahit.

“Saya membesar dengan keadaan rumah yang agak bersepah, dengan helaian potongan kain dan benang di mana-mana. Untuk menjadi seorang yang kreatif saya tidak betah tinggal dalam suasana sedemikian, saya suka setiap barang disusun mengikut berada aturan.

“Atas sebab tertentu saya tidak mahu menjadi seorang pereka fesyen, jadi saya pilih jurusan rekaan barang kemas,” katanya.

Hearts of Fire

Hearts of Fire merupakan salah satu syarikat pereka berlian terkenal dunia. Syarikat ini sering mengeluarkan berlian keluaran khas yang menjadi buruan peminat setianya.

Ketika mereka memulakan pencarian untuk mencari pereka berlian yang baru, saya masih berkhidmat sebagai Ketua Bahagian Rekaan di Garrads di London.

“Pada ketika itu saya gembira di sana. Namun pada masa yang sama, saya fikir tidak salahnya jika mencuba nasib dan saya  tidak akan menolaknya jika ada orang menawarkan kepada saya untuk pergi temu duga,” katanya.

Illaria Lanzoni

Illaria Lanzoni seorang pereka berlian yang merendah diri.

 

Walaupun Lanzoni mempunyai pengalaman selama 17 tahun sebagai pereka berlian, dia masih perlu menghadiri tiga sesi temu duga sebelum diterima bekerja di Hearts of Fire.

“Namun saya tetap menguatkan semangat untuk pergi ke sesi temu duga berkenaan.  Saya menyakinkan diri saya mampu mengharungi apa jua cabaran ketika sesi temu duga berkenaan.

“Selepas mendapat tawaran daripada Hearts of Fire, saya masuk ke pejabat kali pertama dan saya teruja apabila melihat batu berlian yang berkilau.

Mereka menawarkan kepadanya jawatan yang bagus, suasana kerja yang menarik serta santai dengan harapan Lanzoni dapat menghasilkan berlian yang mempunyai kualiti serta reka bentuk yang unik.

“Selepas diterima menyertai Hearts of Fire saya akhirnya membuat keputusan untuk berhijrah ke Boston,” katanya.

Bercerita mengenai pengalamannya berkolaborasi bersama syarikat Habib Jewel, Lanzoni berkata kedua-dua syarikat berkenaan telah bekerjasama sejak 10 tahun lalu.

“Hubungan kerjasama itu telah lama terjalin, kami mementingkan kualiti produk yang dihasilkan.  Sama seperti  Hearts of Fire, Habib Jewels juga mahu memberi kepuasan yang maksimum kepada pelanggannya,” katanya.

Ditanya mengenai pengalamannya sebelum menjadi pereka berlian terkenal Lanzoni berkata dia juga sama seperti orang lain memulakan kariernya dari bawah sebelum berjaya mencipta nama.

“Ketika saya memulakan karier sebagai pereka berlian bukanlah mudah. Saya menghadiri beberapa sesi temu duga dengan membawa set portfolio dan tiada siapa yang mahu bertemu dengan saya.

“Yang penting anda tidak harus berputus asa dan dalam bidang ini dan perlu kuatkan keazaman untuk berjaya,” katanya.

Lanzoni juga tidak lokek berkongsi rahsia kejayaannya berkata untuk menghasilkan rekaan barang kemas yang anda perlu kreatif namun anda perlu melakukannya mengikut susunan.

“Bukan seperti anda membuat lukisan kita boleh menconteng sesuka hati. Berlian adalah satu barang yang sangat berharga, sudah pasti ada peraturan yang perlu anda ikuti sama seperti anda membina ingin sebuah bangunan. Ia salah satu cara untuk menjadi kreatif.

Menurutnya, apa sahaja yang dilihatnya menjadi sumber inspirasinya dalam  mereka berlian.

“Dengan melancong saya akan dapat memperoleh banyak inspirasi. Di studio saya ada banyak papan tanda untuk saya lukis lakaran tertentu apabila saya mempunyai idea,” katanya.

“Jika anda mahu produk dikenali diperingkat global anda harus mempunyai reka bentuk yang berbeza dan menarik namun ini memerlukan sumber inspirasi,” katanya.

Sebagai pereka pada mulanya sudah pasti kita mempunyai perasaan bahawa orang lain tidak mahu melihat rekaan kita.

Bercerita mengenai pengalamannya sebelum ini, beliau berkata dalam tempoh tiga bulan pertama dia berhijrah ke London dia tidak mahir berbahasa Inggeris.

“Saya mula membuat barang kemas dan menjualnya di pasar. Selepas itu saya membuka kedai sendiri dan kembali ke bidang rekaan, saya telah melalui jatuh bangun dalam bidang ini. Saya tidak pernah berputus asa. Bagi saya untuk berjaya perlukan pengorbanan.

Untuk menarik perhatian golongan muda, saya perlu mereka produk yang mempunyai rekaan yang ringkas dan mereka lebih suka emas putih,” katanya.