Genneva: Konsultan Didakwa Terima Deposit Emas RM5.5b

joseph-gennevaKUALA LUMPUR – Seorang konsultan syarikat pelaburan jongkong emas Genneva (M) Sdn Bhd, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana menerima deposit tanpa lesen membabitkan RM5.5 bilion, dua tahun lepas.

Datuk Joseph Kow Hock Beng, 55, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan bersubahat dengan Genneva untuk menerima deposit daripada orang awam tanpa lesen melalui satu skim yang melibatkan transaksi emas menerusi dua akaun semasa CIMB Islamic Bank Berhad.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Kuchai Maju 6, Off Jalan Kuchai Lama di sini antara 10 Jan 2011 hingga 1 Oktober 2012.

Kow didakwa mengikut Seksyen 112(1)(c) Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 103(1)(a) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM10 juta atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya dari Bank Negara Fahmi Abd Moin tidak menawarkan sebarang jaminan, bagaimanapun, sekiranya mahkamah membenarkan jaminan, beliau menawarkan jaminan sebanyak RM1 juta dengan seorang penjamin.

Peguam Datuk Ghazi Ishak yang mewakili tertuduh memohon jaminan dikurangkan kepada RM50,000 kerana segala aset anak guamnya telah dibekukan.

Hakim Mat Ghani Abdullah membenarkan tertuduh diikat jamin RM200,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan iaitu pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.

Mahkamah menetapkan 27 November untuk pengurusan kes dan 7 April hingga 24 April tahun depan untuk perbicaraan dan kes itu akan dibicarakan bersama kes yang dihadapinya di Pulau Pinang selepas kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen di sini.

Pada 30 Oktober lepas, di Mahkamah Sesyen Pulau Pinang, Kow dan isterinya Veronica Tan, 51, yang merupakan pengarah beberapa syarikat, didakwa terhadap 81 pertuduhan melakukan aktiviti pengubahan wang haram berjumlah lebih RM15 juta dalam bentuk wang tunai, cek dan jongkong emas. – Bernama

Ahli perniagaan tidak percaya Genneva alami kerugian besar

SIBU: Seorang ahli perniagaan tempatan tidak percaya bahawa Genneva Malaysia Sdn Bhd mengalami kerugian seperti yang didakwa oleh Bank Negara.

Ahli perniagaan terbabit yang hanya mahu dikenali sebagai Ling berkata, kenyataan bahawa Genneva mengalami kerugian besar  dengan liabiliti melebihi 10 kali asetnya sukar untuk diterima.

“Saya tidak percaya bahawa itu adalah benar, saya percaya bahawa syarikat itu membuat keuntungan dan saya mengesyaki terdapat pengaruh politik di sebalik ini,” tegasnya.

Menurut beliau, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad juga menyuarakan rungutan dan pandangan mengenai Genneva.

Ling berkata, beliau menerima panggilan telefon sebulan lalu memintanya untuk bertenang mengenai isu berkenaan.

Beliau mendakwa pemanggil terbabit memberitahu satu syarikat akan mengambil alih Genneva dan mesyuarat akan diadakan bersama pelanggan.

Rundingan itu, menurut Ling, akan diadakan di Kuching pada bulan ini bagi menyelesaikan isu berkenaan.

“Bagaimanapun, saya masih belum diberitahu tentang tarikh mesyuarat,” katanya.

Beliau juga berkata, terdapat ramai perunding dan pelanggan Genneva tidak berpuas hati dengan Bank Negara.

Sementara itu, Genneva telah diserbu oleh Bank Negara, polis, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pada 2 Oktober lalu.

Ia berikutan dakwaan bahawa syarikat itu terlibat dalam penggubahan wang haram selain ‘deposit-taking offences.’

Read more: http://www.theborneopost.com/2012/12/06/ahli-perniagaan-tidak-percaya-genneva-alami-kerugian-besar/#ixzz2EFiXypgu

emas genneva kementerian kewangan

Liabiliti Syarikat Emas Genneva Melebihi Aset

emas genneva kementerian kewanganBank Negara Malaysia (BNM) mendapati liabiliti syarikat pelaburan jongkong emas, Genneva Malaysia Sdn Bhd (Genneva Malaysia) melebihi aset syarikat itu.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata keadaan itu jelas menunjukkan bahawa Genneva Malaysia tidak mampu membayar pulangan kepada pelabur.

Beliau berkata siasatan awal BNM mendapati syarikat itu memang menjalankan urusniaga penjualan emas untuk menarik minat pelabur, tetapi bertukar kepada hanya mengambil deposit dan urusan pemberian jongkong emas kepada pelanggan tergendala serta lambat.

Beliau menyifatkan operasi Genneva Malaysia sama seperti kebanyakan skim cepat kaya yang tidak sah.

“Genneva sudah ada unsur pengambilan deposit dan jumlah yang dilabur oleh rakyat dengan aset yang ada pada syarikat begitu kecil, jadi ada jarak yang amat besar antara aset dan liabiliti.

“Jadi bagaimana dia (Genneva) nak bayar bila liabiliti berbilion ringgit dan aset pula hanya dalam lingkungan jutaan (ringgit),” kata beliau ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2013 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Kewangan di Dewan Rakyat semalam.

Baru-baru ini, BNM bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) serta Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menyerbu beberapa premis Genneva Malaysia serta kediaman pengarah syarikat selepas beberapa pelabur yang menjadi mangsa tampil membuat laporan polis.

Dalam pada itu, Awang Adek berkata Bank Negara sedang meneliti tindakan sewajarnya ke atas Genneva Malaysia dan Bank Negara juga tidak mungkin dapat membayar nilai pelaburan kepada para pelanggan syarikat terbabit.

“Pada mulanya ada yang dapat pulangan dua peratus sebulan, dan ini tidak betul. Kita tak boleh kata pelabur tak bersalah, dia pun melabur dan ada risiko.

“Syarikat memang salah. Mana ada skim yang boleh bagi pulangan baik, jika ia terlalu bagus, ia tidak mungkin betul,” katanya.

Sementara itu, berkaitan isu Konsortium Indah Water (IWK) Sdn Bhd, Awang Adek berkata Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air memberi jaminan untuk melakukan penstrukturan semula secepat mungkin bagi mengatasi masalah kebergantungan kepada subsidi kerajaan.

“Memang (IWK) mempunyai masalah struktur. Masalahnya ialah caj kepada pengguna adalah RM2 ke RM8, tidak cukup untuk menanggung kos operasi sebenar RM23 seunit. IWK nak caj RM23, kerajaan tidak benarkan kerana rakyat bising, rakyat kata mahal,” katanya.

– Bernama

ban negara genneva

FAQ : Serbuan Syarikat Genneva Malaysia

ban negara genneva

Susulan banyak pertanyaan yang diterima oleh agensi-agensi penguat kuasa berhubung dengan tindakan yang diambil baru-baru ini terhadap syarikat-syarikat yang disyaki menjalankan skim kewangan haram menggunakan emas, berikut adalah soalan lazim berserta jawapan untuk rujukan orang ramai, khususnya pihak-pihak yang terbabit.

Kenyataan bersama oleh:

Polis Diraja Malaysia
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan
Suruhanjaya Syarikat Malaysia
Bank Negara Malaysia

Soalan Lazim (FAQ)

S:  Mengapakah pihak berkuasa membuat serbuan ke atas syarikat-syarikat tersebut?

J:   Serbuan dibuat bagi melindungi kepentingan para pelabur daripada melaburkan lebih banyak wang dalam skim yang berisiko, dan juga untuk melindungi kepentingan orang ramai.

Syarikat yang terbabit sedang dalam siasatan kerana disyaki melakukan kesalahan, termasuk mengambil deposit secara haram, mengubah wang haram, mengelakkan cukai, memberikan maklumat palsu termasuk pernyataan yang salah, melantik ejen tanpa lesen dan gagal mengemukakan dokumen berkanun.

S: Mengapakah timbul kebimbangan terhadap model perniagaan syarikat-syarikat tersebut?

J:   Kebimbangan ini timbul kerana syarikat-syarikat tersebut dipercayai menjalankan skim yang tidak dapat bertahan lama. Syarikat-syarikat tersebut menjanjikan pelabur pulangan bulanan yang lumayan dan jaminan belian balik emas. Skim tersebut bukan dibiayai oleh jual beli emas yang sebenar, sebaliknya dibiayai dengan menggunakan wang yang baru dilaburkan dalam skim ini.

Jumlah aset dan wang yang ada pada syarikat-syarikat ini biasanya tidak sepadan dengan jumlah yang dikumpulkan daripada para pelabur.

S:  Mengapakah pihak berkuasa hanya mengambil tindakan sekarang? 

J:   Sebarang tindakan penguatkuasaan hanya boleh diambil setelah didapati terdapat sebab-sebab yang boleh dipercayai bahawa sesuatu kesalahan telah dibuat. Ini bagi mengelakkan sebarang tindakan penguatkuasaan yang terburu-buru atau melulu yang mungkin boleh menjejaskan perniagaan yang sah.

S:  Apakah status tindakan yang diambil oleh pihak berkuasa?

J:   Siasatan masih lagi berjalan. Orang ramai akan dimaklumkan oleh pihak berkuasa mengenai status terkini siasatan dari semasa ke semasa. Orang ramai dinasihati supaya merujuk kepada kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh agensi penguat kuasa undang-undang sahaja untuk sebarang maklumat terkini kes-kes ini.

S:  Berapa lamakah tempoh siasatan?

J:   Tempoh siasatan akan bergantung pada tahap kompleksiti dan keseriusan kes. Tahap kompleksiti telah meningkat disebabkan oleh dimensi antarabangsa kes-kes tersebut. Kerjasama daripada pihak yang terbabit akan membantu proses siasatan. Siasatan ini diberi keutamaan yang tinggi dan semua sumber yang perlu telah digembleng oleh agensi penguat kuasa yang berkenaan untuk mempercepat siasatan.

S: Mengapakah aset dibekukan dan dirampas?

J:  Berhubung dengan kes skim kewangan haram yang disyaki, pihak berkuasa boleh menjalankan operasi mencari dan merampas bagi mendapatkan bukti dan untuk mengelakkan syarikat daripada menyembunyikan atau memusnahkan bahan bukti. Ini juga menghalang aset daripada lesap kerana ia akan memberikan kesan buruk kepada pelabur.

Di bawah seksyen 44 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Akta Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFA), agensi-agensi penguatkuasaan undang-undang diberikan kuasa untuk membekukan apa-apa aset apabila disyaki bahawa suatu kesalahan pengubahan wang haram telah dilakukan.

S: Apakah yang akan terjadi kepada aset dan emas yang dirampas?

J:   Aset yang dirampas semasa serbuan dibuat akan didokumenkan dengan teliti dan diambil kira serta disimpan di tempat yang selamat.  Sekiranya terdapat prosiding jenayah, aset tersebut hanya boleh diuruskan atas perintah Mahkamah.

S:  Bolehkah pelabur yang terbabit menuntut kembali wang atau emas mereka daripada aset yang dirampas?

J:   Aset yang dirampas semasa siasatan dijalankan hanya boleh diuruskan atas perintah Mahkamah. Pelabur mungkin boleh memfailkan kepada Mahkamah tuntutan pihak ketiga bagi pemulangan wang atau emas mereka. Maklumat tentang sama ada dan bagaimana untuk memfailkan sesuatu tuntutan akan diberitahu apabila prosiding mahkamah selesai.

S: Apakah nasihat kepada orang ramai yang ingin melabur? 

J: Orang ramai dinasihati supaya sentiasa berhati-hati terhadap skim pelaburan yang menjanjikan pulangan tinggi dengan risiko yang kelihatan rendah, dengan memberikan jaminan bahawa jumlah pokok yang dilaburkan akan dipulangkan. Orang ramai juga dinasihati supaya merujuk kepada agensi yang berkenaan apabila berurusan dengan syarikat atau individu yang menawarkan peluang perniagaan atau perkhidmatan kewangan yang kelihatan menarik tetapi tidak diberikan lesen oleh pihak berkuasa.

Sebagai panduan, orang ramai digalakkan mengambil perhatian perkara berikut apabila menilai sesuatu skim pelaburan:

  • Ingatlah – sekiranya skim tersebut adalah indah khabar dari rupa, berkemungkinan besar skim tersebut adalah skim palsu;
  • Berwaspada dengan skim Ponzi. Ia merupakan skim pelaburan yang berunsur penipuan apabila pengendalinya mengambil wang daripada pelabur baharu untuk membayar kepada pelabur awal atau sedia ada.  Akhirnya, akan sampai satu peringkat apabila jumlah pelabur baharu tidak mencukupi untuk menyokong skim ini dan seterusnya keseluruhan skim mengalami kegagalan;
  • Berurusan hanya dengan institusi kewangan berlesen dan peniaga yang sah;
  • Rujuk kepada pihak berkuasa yang berkenaan sebelum melabur/mendeposit wang;
  • Jangan terpengaruh atau terburu-buru untuk melabur;
  • Hendaklah lebih berhati-hati dengan pelaburan melalui Internet;
  • Berwaspada dengan apa-apa peluang pelaburan yang tidak bertulis;
  • Jika pelaburan telah dibuat, simpan salinan semua dokumen pelaburan; dan
  • Rujuk laman sesawang amaran penipuan kewangan berikut:

Sekiranya anda mengetahui skim pelaburan yang berunsurkan penipuan, anda digalakkan untuk membuat laporan polis.

Bank Negara Malaysia
22 Oktober 2012

Kenyataan Firma Pelaburan Emas Sedang Direkodkan

PETALING JAYA: Bank Negara Malaysia (BNM) sedang mengambil kenyataan daripada pihak yang terbabit selepas mereka memulakan penyiasatan secara besar-besaran terhadap beberapa firma pelaburan emas.

Bank Negara berkata agensi yang berkaitan kini sedang merekodkan kenyataan daripada pengarah, pengurus kanan firma, ejen-ejen dan pelabur.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, bank pusat itu menambah bahawa analisis terperinci dan menyeluruh sedang dijalankan ke atas aset dan liabiliti syarikat yang terlibat.

“Pengarah dan pegawai kanan syarikat-syarikat yang terlibat juga diarahkan supaya mengisytiharkan harta mereka di Malaysia dan di luar negara, termasuk pasangan masing-masing dan proksi mereka,” katanya.

Awal bulan ini, BNM bersama pihak polis, Kementerian Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Suruhanjaya Syarikat Malaysia menyerbu syarikat pelaburan emas, Genneva Malaysia Sdn Bhd atas kesalahan mengambil deposit secara haram, mengubah wang haram, mengelak cukai, memberikan gambaran yang salah termasuk deskripsi palsu dan melantik ejen tanpa lesen.

Sehari selepas itu, tiga lagi firma pelaburan emas turut diserbu atas kesalahan yang sama mereka adalah, Pageantry Gold Bhd, Caesar Gold Sdn Bhd dan Worldwide Far East Bhd.

“Aset dan akaun yang disita hasil daripada serbuan tersebut disimpan bagi memudahkan siasatan ke atas syarikat yang disyaki melakukan kesalahan dan untuk melindungi kepentingan pelabur,” katanya.

Bank pusat itu juga menasihatkan orang awam untuk berhati-hati terhadap skim pelaburan yang menjanjikan pulangan yang tinggi dalam jangka masa yang pendek yang memberikan jaminan pulangan bagi jumlah pokok yang dilaburkan.

“Orang ramai dinasihati supaya menyemak dengan agensi berkenaan apabila berurusan dengan syarikat atau individu yang menawarkan peluang perniagaan atau perkhidmatan kewangan yang kelihatan menarik tetapi tidak diberikan lesen oleh pihak berkuasa,” tambahnya.

Untuk maklumat lanjur, orang ramai diminta menghubungi pusat khidmat pelanggan BNM di talian 1-300-88-5465.