emas genneva kementerian kewangan

Liabiliti Syarikat Emas Genneva Melebihi Aset

emas genneva kementerian kewanganBank Negara Malaysia (BNM) mendapati liabiliti syarikat pelaburan jongkong emas, Genneva Malaysia Sdn Bhd (Genneva Malaysia) melebihi aset syarikat itu.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata keadaan itu jelas menunjukkan bahawa Genneva Malaysia tidak mampu membayar pulangan kepada pelabur.

Beliau berkata siasatan awal BNM mendapati syarikat itu memang menjalankan urusniaga penjualan emas untuk menarik minat pelabur, tetapi bertukar kepada hanya mengambil deposit dan urusan pemberian jongkong emas kepada pelanggan tergendala serta lambat.

Beliau menyifatkan operasi Genneva Malaysia sama seperti kebanyakan skim cepat kaya yang tidak sah.

“Genneva sudah ada unsur pengambilan deposit dan jumlah yang dilabur oleh rakyat dengan aset yang ada pada syarikat begitu kecil, jadi ada jarak yang amat besar antara aset dan liabiliti.

“Jadi bagaimana dia (Genneva) nak bayar bila liabiliti berbilion ringgit dan aset pula hanya dalam lingkungan jutaan (ringgit),” kata beliau ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2013 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Kewangan di Dewan Rakyat semalam.

Baru-baru ini, BNM bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) serta Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menyerbu beberapa premis Genneva Malaysia serta kediaman pengarah syarikat selepas beberapa pelabur yang menjadi mangsa tampil membuat laporan polis.

Dalam pada itu, Awang Adek berkata Bank Negara sedang meneliti tindakan sewajarnya ke atas Genneva Malaysia dan Bank Negara juga tidak mungkin dapat membayar nilai pelaburan kepada para pelanggan syarikat terbabit.

“Pada mulanya ada yang dapat pulangan dua peratus sebulan, dan ini tidak betul. Kita tak boleh kata pelabur tak bersalah, dia pun melabur dan ada risiko.

“Syarikat memang salah. Mana ada skim yang boleh bagi pulangan baik, jika ia terlalu bagus, ia tidak mungkin betul,” katanya.

Sementara itu, berkaitan isu Konsortium Indah Water (IWK) Sdn Bhd, Awang Adek berkata Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air memberi jaminan untuk melakukan penstrukturan semula secepat mungkin bagi mengatasi masalah kebergantungan kepada subsidi kerajaan.

“Memang (IWK) mempunyai masalah struktur. Masalahnya ialah caj kepada pengguna adalah RM2 ke RM8, tidak cukup untuk menanggung kos operasi sebenar RM23 seunit. IWK nak caj RM23, kerajaan tidak benarkan kerana rakyat bising, rakyat kata mahal,” katanya.

– Bernama