Pajak Gadai Emas Ikut Cara Islam

PERKHIDMATAN pajak gadai berkonsep Islam disediakan Ar Rahnu Express boleh mengelakkan masalah kegagalan menebus semula barangan berharga yang dicagarkan pengguna semasa keadaan mendesak.

Pengurus Besar Ar Rahnu Express Abdul Azri Abdul Latif berkata, Ar Rahnu prihatin terhadap permasalahan itu kerana sistem tradisional pajak gadai sebelum ini membebankan peminjamnya kerana mengenakan faedah yang tinggi.

Ar Rahnu Express adalah perkhidmatan pajak gadai berdasarkan undang-undang syariah yang diwujudkan Kumpulan Habib Jewels pada 2010 selepas menyedari masalah pengguna terutama yang berpendapatan rendah dalam sistem pajak gadai konvensional.

Kakitangan Ar Rahnu Express melayan pelanggan yang ingin mendapatkan maklumat mengenai skim pajak gadai yang ditawarkan. Foto oleh ROSLI TALIB
Kakitangan Ar Rahnu Express melayan pelanggan yang ingin mendapatkan maklumat mengenai skim pajak gadai yang ditawarkan. Foto oleh ROSLI TALIB

Abdul Azri berkata, Ar Rahnu Express menerima pajakan emas, berlian, jam tangan berjenama, batu permata, jongkong emas dan dinar emas untuk pelanggan mendapatkan pinjaman tunai segera dengan proses mudah dan cepat.

“Perkhidmatan pajak gadai yang kami tawarkan adalah pinjaman tanpa faedah tetapi hanya mengenakan upah simpan yang rendah iaitu satu peratus sebulan.

“Kami akan berikan pinjaman sehingga 75 peratus daripada nilai aset yang dipajak gadai,” katanya.

Selesai masalah ah long, ceti haram Azri berkata, Ar Rahnu Express tidak mengenakan kadar faedah tinggi atau sebarang amalan kewangan melibatkan riba.

Menurutnya, syarikat itu mahu menjadi alternatif terbaik kepada umat Islam khususnya yang berpendapatan rendah untuk membiayai pendidikan, atau sedang mengalami kesulitan kewangan dan memerlukan modal untuk menjalankan perniagaan.

Tambahnya, perkhidmatan itu mampu membantu rakyat di negara ini daripada terjebak dengan ceti haram, ah long dan peminjam wang tanpa lesen atau sebagainya. Beliau berkata, skim Ar Rahnu Express memberikan pembiayaan bercagar sehingga RM200,000 dengan syarikat itu kini mempunyai anggaran 3,000 peminjam sebulan dengan jumlah pinjaman RM15 juta hingga RM18 juta sebulan.

Selain memberikan pinjaman, Ar Rahnu Express menyediakan tempat untuk menyimpan barangan kemas atau peti simpanan seperti yang disediakan di bank selain membuat penilaian zakat dan menyediakan perkhidmatan mencuci barang kemas secara percuma.

Sementara itu, Pengurus Operasi Runcit Ar Rahnu Express Peer Mohd berkata, syarikat itu akan membuka tiga lagi cawangan Ar Rahnu Express iaitu di Negeri Sembilan, Kelantan dan Johor pada tahun depan.

“Sebanyak RM350,000 akan digunakan untuk membiayai setiap pembukaan cawangan Ar Rahnu
Express yang baru,” katanya.