Golongan Muda Mula Melabur Emas

Tekanan akibat peningkatan kos sara hidup ditambah pula penurunan nilai mata wang ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat ketika ini menyukarkan ramai rakyat Malaysia, dan mereka yang merasa cukup yakin, mengambil langkah menyimpan di luar negara atau membuat pelaburan emas.

Ini termasuk seorang pelajar kolej, Muhammad Syarifuddin Mohd Jamil, 21, yang juga seorang peniaga emas sambilan.

Pelajar kejuruteraan University of Wollongong di Australia itu mula melabur sejumlah kecil emas awal tahun lepas, selepas mengetahui mengenainya daripada satu seminar kewangan di Sydney.

Selepas menghadiri seminar itu, Syarifuddin berkata, beliau merasakan terdapat keperluan untuk melakukan simpanan walaupun sedang belajar.

Pelajar University of Wollongong, Australia Muhammad Syarifuddin Mohd Jamil berkata ada keperluan membuat simpanan walaupun sedang belajar. – Gambar Facebook, 13 Oktober, 2015. - See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/golongan-muda-giat-labur-emas-di-tengah-tengah-ketidaktentuan-ekonomi#sthash.NXRpy2HL.dpuf
Pelajar University of Wollongong, Australia Muhammad Syarifuddin Mohd Jamil berkata ada keperluan membuat simpanan walaupun sedang belajar. – Gambar Facebook, 13 Oktober, 2015

“Saya berminat dalam hartanah tetapi saya tidak mampu untuk membeli hartanah. Lalu saya membuat kajian dan mendapati emas dan perak pelaburan terbaik, ia lebih sesuai dan lebih mudah untuk saya perolehi” katanya dalam satu temubual.

“Pergolakan politik di negara ini membimbangkan saya. Saya tahu tiada apa yang saya boleh lakukan sebagai seorang pelajar kecuali mula membuat perubahan kecil bagi menjamin masa depan saya.

“Jadi, saya mula membeli emas 1 dinar (4.25g) dengan ketulenan 91.6. Ia diikuti satu lagi dinar emas dengan ketulenan 99.9,” kata Syarifuddin yang berasal dari Pulau Pinang.

Pelajar itu pada mulanya mendapat tentangan dari keluarganya, yang bimbang dia akan menjadi mangsa kepada sindiket penipuan.

Tetapi simpanan emasnya meningkat daripada satu dinar hingga 10 dinar.

Dia juga bertemu dengan seorang peniaga yang kemudiannya menjadikan beliau sebagai anak murid selepas mendapat tahu beliau begitu bersemangat.

“Dia memberi kepercayaan kepada saya dan itu membuatkan saya mahu melakukan lebih baik bagi menunjukkan orang muda seperti saya juga memikirkan tentang masa depan.

“Bukan saja mahu mendapatkan pendidikan yang baik tetapi juga untuk memperoleh kekayaan semasa belajar,” kata Syarifuddin yang mengakui mahu menjadi jutawan sebelum umur 30 tahun.

Beliau kini mempunyai pekerjaan sebagai peniaga emas dengan sebuah syarikat di Malaysia, sambil belajar di luar negara.

Katanya, berniaga di luar Malaysia tidak mustahil selagi ada sambungan Internet yang baik.

“Syarikat ini beroperasi 24 jam. Ia membolehkan orang ramai membeli emas pada bila-bila masa setiap hari. Anda boleh menyimpan dalam akaun emas yang disokong emas fizikal, atau menempah emas sebenar,” kata Syarifuddin.

Dia masih membeli emas dan menggunakan komisen yang diperoleh daripada memperkenalkan pelanggan baharu untuk melabur semula dalam logam berharga itu.

Dengan hampir 100 pelanggan yang membeli emas melaluinya bernilai lebih RM200,000 dalam 10 bulan lalu, Syarifuddin berkata keluarganya akhirnya memberikan sokongan selepas melihat kejayaannya.

Beliau juga mengajar rakannya yang lain mengenai nilai membuat pelaburan dalam emas demi masa depan.

“Kita tidak mempunyai wang yang banyak tetapi jika kita boleh mendisiplinkan diri kita membeli sekecil 1 gram sebulan sudah cukup baik,” katanya.

Pelaburan emas di tengah ketidakpastian

Pakar kewangan dan pelaburan Shan Saeed berkata, trend anak muda melabur dalam emas semakin berkembang ketika ramai daripada mereka sedar kepentingan membuat simpanan dalam bentuk aset selain wang tunai.

Ketua Pakar Ekonomi IQI Holdings Shan Saeed bercakap mengenai trend anak muda melabur dalam emas ketika ditemubual, baru-baru ini
Ketua Pakar Ekonomi IQI Holdings Shan Saeed bercakap mengenai trend anak muda melabur dalam emas ketika ditemubual, baru-baru ini

Ketua pakar ekonomi IQI Holdings itu berkata, beliau memerhatikan peningkatan 20% dalam pelaburan emas di kalangan rakyat Malaysia dalam tempoh 4 tahun lepas, di mana anak muda dan pelajar memilih membeli emas manakala golongan dewasa yang berusia 30-an dan 40-an gemar melabur dalam sektor hartanah.

“Jika anda mahu melindungi wang anda, emas, perak dan hartanah adalah simpanan yang dapat menyelamatkan anda ketika zaman berisiko ini,” kata Shan dalam satu wawancara.

Pelajar kejuruteraan mekanikal Ahmad Sayuti Abu Khuzafar, 22, merupakan satu lagi contoh anak muda yang menceburi pelaburan ini.

Pelajar Universiti Teknikal Malaysia (UTeM) Melaka itu berkata beliau terdorong untuk melabur dalam emas, walaupun sedang belajar, dengan harapan kehidupan selepas tamat pengajian tidak begitu membebankan.

“Saya membeli emas beberapa bulan lalu. Saya mula berfikir tentang pelaburan emas selepas bersembang dengan kawan-kawan di kedai kopi,” kata Sayuti.

Anak muda dari Perak itu berkata, beliau terpengaruh untuk melabur dalam emas selepas melakukan banyak penyelidikan serta atas nasihat seorang pencadang.

“Mempunyai wang tunai adalah baik tetapi melihat bagaimana ringgit kita menyusut berbanding dolar Amerika Syarikat sejak beberapa bulan lalu membuat saya merasa tidak selamat tentang masa depan saya.

“Emas sentiasa menjadi mata wang yang sebenar, jadi saya fikir mengapa tidak. Ini bukan emas kertas. Ini fizikal dan saya membelinya dari sebuah syarikat terkemuka. Saya cuba untuk membeli sekurang-kurangnya 1 gram sebulan,” katanya.

Ditanya sama ada beliau mempunyai matlamat khusus untuk simpanannya itu, Sayuti berkata beliau mahu mempunyai sekurang-kurangnya emas yang mencukupi supaya selepas tamat pengajian beliau mampu menggunakan simpanannya sebagai wang pendahuluan untuk memiliki kereta, atau pangsapuri, atau membayar pinjaman pelajarannya.

Ia antara perkara yang semakin ramai graduan muda Malaysia berkata, mereka tidak mampu untuk membayarnya dengan gaji permulaan mereka.

Menyimpan di luar negara

Jeva dan anak saudaranya, Sree, bukan saja melabur dalam emas tetapi dalam deposit tetap dan mempunyai akaun simpanan dolar Amerika Syarikat di India dan Singapura.
Enggan memberikan nama penuh mereka, Jeva, seorang ahli perniagaan dan Sree, seorang eksekutif syarikat minyak dan gas, berkata kebanyakan pelaburan emas mereka dibuat di India, di mana kadar faedahnya lebih baik.

“Kadar faedah di sana lebih baik. Kami juga mempunyai harta sendiri di sana kerana kami memang sering ke India,” kata Jeva.

Tahun lepas, keluarga mereka memutuskan untuk melabur dalam mata wang Amerika Syarikat di Singapura.

“Ia satu akaun bersama di kalangan adik-beradik. Kami rasa kami perlu mempelbagaikan pelaburan kami,” kata Sree.

Jeva berkata, ketidakstabilan ekonomi semasa menjadikan mereka lebih berhati-hati untuk melabur di Malaysia.

“Kami mempunyai beberapa pelaburan di sini tetapi kami juga meletakkan wang di tempat lain. Pada usia ini, saya tidak fikir saya akan berhijrah. Malaysia masih kampung halaman kami biarpun banyak masalah berlaku.

“Saya buat ini semua untuk anak-anak saya,” kata Jeva, bapa kepada dua anak.

Pakar ekonomi Shan berkata, tidak mengejutkan rakyat Malaysia semakin gemar mengumpul aset dan membuat simpanan di luar negara.

Tetapi masih ramai yang melabur di Malaysia, terutamanya dalam sektor hartanah, bon logam dan juga karya seni, katanya.

Katanya, Malaysia masih mempunyai asas ekonomi yang kukuh, secara amnya, dan dianggarkan 95% daripada rakyat Malaysia masih mempercayai pelaburan dalam negara.

Walaupun rakyat Malaysia berkecimpung dalam portfolio yang berbeza, sektor seni semakin menjadi satu trend baru, biarpun hartanah dan saham kekal menjadi keutamaan.

“Tetapi oleh kerana kedudukan saham sangat tidak menentu sekarang, pelabur yang faham akan membawa keluar saham mereka dan berpindah ke pelaburan hartanah,” katanya.

Beliau berkata, 4 tahun lalu menyaksikan peningkatan sebanyak 50% dalam pelaburan hartanah oleh rakyat Malaysia.

Ringgit merosot kepada nilai terendah dalam tempoh 17 tahun dan merupakan mata wang paling teruk terjejas di Asia Tenggara.

Selain harga komoditi yang tertekan dan faktor luaran lain, terdapat juga kebimbangan Malaysia kemungkinan sekali lagi terdedah kepada serangan spekulatif.

Rakyat Malaysia kelas pekerja sekian lama bergelut dengan kos hidup yang tinggi, ditambah pula dengan pengenalan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) pada kadar 6%, April tahun ini

 

Ar-Rahnu Pos Jangka Tiada GST Untuk Pelaburan Emas

ar-rahnu-pos

Ar-Rahnu Pos Sdn Bhd menjangka kerajaan untuk mengecualikan cukai keatas  pelaburan logam berharga (IPM, Investment Precious Metal)  daripada Cukai Barangan dan Perkhidmatan.

Naib Presiden Kanan Abd Razak Mohd A Kadir berkata syarikat itu, bersama-sama dengan bank-bank yang menjual emas sebagai satu pelaburan, pemborong, dan peruncit, baru-baru ini bertemu dengan kerajaan bagi memmbincangkan pengecualian GST untuk emas pelaburan seperti jongkong emas dan dinar emas.

Bercakap kepada Bernama, beliau berkata jika cukai  enam peratus dikenakan ke atas emas, pelanggan akan melarikan diri ke Singapura, yang tidak mengenakan cukai ke atas logam yang berharga.

Pos Ar Rahnu mensasarkan asas pelanggannya meningkat kepada 96,000 pada tahun kewangan berakhir 31 Mac, 2015 daripada 48,000 pada masa ini, pada permintaan yang tinggi di pasaran tempatan terutama di Sabah yang, dengan empat cawangan, menyumbang 10 peratus kepada keuntungan syarikat.

Sehingga 31 Mac 2014, Pos Ar Rahnu telah mengeluarkan RM283 juta pinjaman kepada pelanggan.

Ia mempunyai 75 cawangan di pejabat pos terpilih dan berunding dengan peserta industri untuk mengembangkan perkhidmatannya untuk menjual barang kemas.

Pemikir Terawal Ar-Rahnu Cuma Sekolah Pondok

ulamak-arrahnuSEPANJANG khidmatnya sebagai mustasyar di Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia (YPPM), Sheikh Ustaz Dr Muhammad Uthman El-Muhammady menunjukkan komitmen yang cukup tinggi.

Walaupun usia mencecah tujuh abad, beliau tetap bersemangat dan selalu hadir mesyuarat, sama-sama berbincang aktiviti dan matlamat YPPM.

Beliau sering mengemukakan idea bernas dan pandangan tajam. Terkenal dengan jubah, serban serta janggut dan rambutnya yang berinai. Beliau juga terbabit dengan penerbitan program TV untuk promosi YPPM, termasuk pelancarannya pada 8 November 2012 lalu.

Seorang intelek unggul berjiwa pondok, beliau banyak menulis dan berkongsi ilmu mengenai pondok, selain menjalankan pengajaran kitab seperti Risalah al-Qusyairiyyah dan Kanzu’l Minan ‘ala Hikam Abi Madyan (terjemahan Sheikh Daud al-Fatoni) secara talaqqi di madrasah tasaufnya, yang menggabung teori ilmu dan kitab thurath.

Di universiti, beliau ajar subjek pemikiran, falsafah dan teori politik Islam. Dari segi integriti keilmuan, beliau mengikut tradisi ulama hebat seperti Imam al-Ghazali, Imam al-Juwaini, Sheikh Abdul Samad al-Palembani, Sheikh Arsyad al-Banjari, Sheikh Muhamad al-Nafis, Sheikh Nawawi al-Bantan, Sheikh Yusuf Makasar dan Shah Wali’ullah al-Dihlawi.

Beliau amat menghormati kewibawaan ulama terdahulu, justeru tidak membina gagasan sendiri atau struktur pemikiran baharu. Beliau menolak falsafah atau tafsiran yang individualistik, liberalis dan subjektif kerana berpegang kepada ajaran Ahli Sunnah wal Jamaah (ASWJ) yang menghormati autoriti dan hierarki keagamaan. Atas prinsip ini, Sheikh Dr Uthman mempertahan institusi fatwa.

Tegasnya, keaslian dan kejituan ilmu sudah termaktub dalam pemikiran ASWJ sejak lima abad lalu. Apa yang perlu dibuat ialah menggali dan memahami hikmah dalam kitab thurath bagi menghadapi kehidupan beragama dan mengatasi serangan pelbagai fahaman baharu, termasuk pasca modenisme, pasca strukturalisme, liberalisme, pluralisme, egalitarianism, libertarianisme, sapere aude dan ajaran sesat.

Menurutnya, golongan yang hanya bersandarkan fikiran dan akal bebas, sama ada atas nama reformasi, progresif Barat, hak asasi manusia atau masyarakat madani adalah manusia berbudaya koboi yang tiada adab dan akhlak.

Beliau menegaskan tidak ada kebebasan mutlak dalam Islam. Kebebasan yang diberi kepada manusia bersifat relatif bukan mutlak. Ia tertakluk kepada syariat dan peraturan agama, qada dan qadar serta kehendak ALLAH.

Sheikh Dr Uthman bukan saja mahir membaca, memahami dan menghurai kitab kuning, malah faham bahasa Arab klasik. Kerana itu beliau boleh baca kitab asal karya al-Qusyairi, al-Muhasibi, al-Asyaari, al-Baqillani, Ibn Arabi, Ibn Farid, Ibnu Sina, Fakhrudin al-Razi, Suhrawardi Maqtul dan al-Sakandari.

Ketokohannya termasuk menguasai falsafah Greco-Alexandrio, falsafah moden dan pasca moden (Russell, Descartes, Kant, James, Deridda, Foucault, Lyotard, Nietsche, Marx) dan falsafah transcendentalisme-perenialisme (Schuon, Corbin, Nasr, Smith, Coomaraswamy, Huston).

Keupayaan ini membolehkannya melawan hujah dan serangan pemikiran asing seperti karyanya yang menjawab dan mematahkan falsafah agama John Hick. Sepanjang hidupnya, Sheikh Dr Uthman menghasilkan tiga buku, menterjemah empat buku dan berpuluhan kertas kerja yang dicetak semula dalam beberapa buku. Ketika menghembus nafas terakhir pada 25 Mac 2013, Dr Muhammad sedang menyiapkan buku baharu yang ditulisnya.

Pemikiran dan pencapaian Sheikh Dr Uthman boleh dibaca dengan lebih terperinci dalam buku Muhammad Uthman El-Muhammady: Inteligensia Muslim Kontemporari karangan Ismail Mina Ahmad (Muafakat, Kuala Lumpur, 2014).
Dr Muhammad Uthman El-Muhammady Meninggal Dunia1

Antara perkara menarik ialah pendedahan bahawa Sheikh Dr Uthman adalah orang terawal yang bercakap mengenai sistem kewangan syariah dan mencadangkan penubuhan Ar-Rahnu, yang kini dilaksanakan.

Sedar tak sedar, sudah hampir setahun setengah Sheikh Dr Uthman meninggalkan kita. Semangat, disiplin ilmu, keintelektualan dan sumbangan beliau terus dihargai dan menjadi dorongan semua staf di YPPM untuk memberi khidmat lebih cemerlang kepada usaha pembangunan pondok di negara ini.

Sindiket Emas Ar-Rahnu Terbongkar – Dalang Dikenalpasti

sindiket-emas-palsu

KUALA LUMPUR 25 Julai – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendedahkan modus operandi dalam kes sebuah bank tempatan ditipu RM75 juta baru-baru ini, adalah dengan menyadur kepingan tembaga menggunakan emas tulen.

Disebabkan itu, pihak bank gagal mengesan ketulenan emas berkenaan ketika membuat tapisan pertama melalui timbangan menyebabkan pinjaman diluluskan.

Lebih licik, sindiket itu mempergunakan penduduk kampung dengan menawarkan upah RM300 hingga RM800 seorang bagi mencagarkanemas palsu tersebut ke sistem pajak gadai Islam, Ar-Rahnu.

Sejurus pinjaman diluluskan dan pembayaran dibuat, wang tersebut akan diserahkan kepada sindiket dan wang upah akan diberikan kepada penduduk kampung tersebut.

Bagaimanapun, selepas tempoh tertentu dan melalui ujian seterusnya menerusi Unit Penyiasatan Kewangan, pihak bank menyedari terdapat tembaga di dalam emas berkenaan sehingga membawa kepada terbongkarnya kegiatan sindiket terbabit.

Sindiket penipuan berkenaan dipercayai menggunakan modus operandi sama di cawangan-cawangan bank tersebut di seluruh negara.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Syed Ismail Syed Azizan, kes yang sama dilaporkan membabitkan enam negeri iaitu di Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur, Perak, Kedah dan Melaka.

Katanya, beberapa tangkapan telah dibuat untuk membantu siasatan kes itu tetapi beliau enggan mendedahkan bilangan mereka terlibat.

Beliau turut enggan mendedahkan secara terperinci pecahan kerugian dan bilangan kes dilaporkan di negeri-negeri terlibat kerana siasatan masih dijalankan.

“Polis akan menemui pegawai bank tempatan berkenaan esok, bagi membincangkan kelemahan yang boleh diatasi dalam sistem pajak gadai tersebut.

“Kes tersebut masih dalam peringkat siasatan dan operasi memburu suspek sedang dijalankan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua JSJK Pulau Pinang, Asisten Komisioner Roslee Chik berkata, sebanyak 14 laporan diterima membabitkan jumlah kerugian sebanyak RM5.2 juta dialami cawangan bank tersebut di negeri itu.

“Seramai 43 penduduk kampung di Daerah Barat Daya negeri dikesan telah dipergunakan sindiket berkenaan untuk mencagar emas palsu yang dibekalkan kepada mereka.

“Seorang individu dipercayai orang tengah yang berperanan mempengaruhi orang kampung berkenaan turut diambil keterangan bagi membantu siasatan, semalam,” katanya lagi.

Jelas Roslee, dalang kes itu telah dikenal pasti dan sedang diburu.

Maklumat Asas Skim Ar-Rahnu: Apakah Ar-Rahnu?

ar-rahnu-pic

Skim Pajak Gadai Islam Ar-Rahnu ditubuhkan atas dasar Fardhu Kifayah dan bukan atas dasar keuntungan semata-mata oleh pelaksanaannya. Antara tujuan utamanya ialah untuk menghapuskan riba atau hasil bunga (faedah) dan gharar yang dikenakan oleh pengusaha kedai pajak gadai secara konvensional. Walaupun menurut Akta Pajak Gadai 1972, had maksimum caj faedah bulanan adalah sebanyak 2.5 peratus, namun secara realitinya, jumlah yang dikenakan ialah sekitar tiga hingga empat peratus sebulan.

Skim Ar-Rahnu ini memberikan kemudahan alternatif kepada kemudahan pin-jaman yang sedia ada di samping memberi pilihan kepada peminjam untuk menuruti kehendak dan hukum Syariah. Skim ini beroperasi dengan memberi pinjaman ihsan sementara kepada yang memerlukan, dengan cagaran atau barang sandaran yang di-namakan ‘marhun’.

Di dalam konsep ini, sesuatu barang yang berharga dijadikan sebagai cagaran yang terikat dengan hutang. Secara ringkasnya, sekiranya hutang tersebut tidak dijelaskan, maka ‘marhun’itu tadi boleh digunakan untuk menjelaskan baki hutang tersebut. Tujuan ‘marhun’ ini ialah untuk meyakinkan tuan punya hutang/pemiutang bahawa risiko pembayaran semula hutang tadi dapat dikurangkan. Sementara di pihak penghutang, mereka ini tidak perlu menanggung beban pembayaran semula yang tinggi, sebaliknya jalan penyelesaian terbaik telahpun dipersetujui.

IMG

 

Bagi hutang tadi pula, skim ini melaksanakan prinsip Al-Qardhul Hasan (bantuan ihsan), iaitu pinjaman tanpa faedah yang lebih bersifat kepada sikap tolong menolong dan bantu membantu sesama Islam. Sementara prinsip Al-Wadiah pula ialah akad di antara tuan punya barang dengan pihak yang menyimpan barang gadaian tersebut.

Atas dasar Al-Wadiah inilah, skim ini akan mengenakan bayaran upah simpan selamat (safe custody fee) ke atas barang gadaian tadi. Secara ringkasnya, skim ini tidak akan mengenakan faedah kepada pinjaman tetapi hanya mengambil upah untuk menyimpan dengan selamat ke atas barang gadaian. Menurut perspektif Islam, skim ini memenuhi ciri-ciri berikut: Bebas dari unsur-unsur riba, selari dengan kehendak dan hukum Islam. Ianya berkonsepkan fardhu kifayah; iaitu membantu sesama umat yang memerlukan pertolongan.

Meletakkan tanggungjawab sosial ke atas peminjam dan pemberi pinjaman yang mana ianya hanya menggunakan konsep upah perniagaan yang dibenarkan oleh Syarak. Paduan yang syumul antara sifat-sifat komersil dan amal jariah; adil dan tidak membebankan peminjam. Meningkatkan sikap amanah kepada pengusaha; menyimpan barang gadaian tersebut dengan baik. Transaksi perniagaan yang lebih telus; bersandarkan kepada harga semasa barang gadaian (kebiasaannya barang gadaian ialah emas). Sementara dari perspektif pergerakan badan koperasi pula,

Skim Pajak Gadai Islam Ar-Rahnu ini memenuhi ciri-ciri berikut :

  • Mempelbagaikan aktiviti perniagaan, yang mana ianya boleh mendatangkan pulangan yang baik ke atas pelaburan yang dibuat oleh koperasi.
  • Mengurangkan risiko hutang tidak berbayar (NPL) kerana semua hutang yang diberikan adalah terjamin.
  • Memecahkan monopoli pajak gadai konvensional yang biasanya membebankan para penggadai yang memerlukan wang.
  • Memberi pilihan pinjaman yang bebas riba’ kepada semua anggota koperasi khasnya dan umat Islam, amnya.
  • Membantu mereka yang terdesak atau memerlukan dengan memberikan pinjaman yang lebih mudah urusan transaksinya.
  • Meningkatkan keperibadian yang baik kepada pengusahanya; dari segi sifat amanah, jujur, telus, kemahiran dalam keilmuan dan pengurusan dan sebagainya.

Konsep, Rukun Dan Ciri-Ciri Perlaksanaan Konsep: Berlandas dan berpandukan kepada hukum Syariah iaitu :

  • Ar-Rahnu: mekanisma di mana sesuatu barang yang berharga dijadikan sandaran ke atas hutang.Tidak ada unsur riba’ ke atas pinjaman tetapi hanya upah menjaga barang cagaran sahaja dikenakan.
  • Al-Qardhul Hasan: pinjaman ihsan yang diberikan adalah bebas dari unsur riba’atau faedah.
  • Al-Wadiah: akad untuk menjaga keselamatan barang yang dicagar.

Rukun: Rukun Ar-Rahnu terbahagi kepada:

  • Penggadai: orang yang menggadai/orang yang berhutang.
  • Penerima Gadaian: pemegang gadaian/pemberi pinjaman.
  • Barang Gadaian : barang yang berharga yang terletak di bawah simpanan penerima gadaian.
  • Tanggungan Gadaian: jumlah yang terhutang.
  • Sighah/Perjanjian: perjanjian berkaitan pinjaman yang diberikan atau hutang dan gadaian.

Koperasi Disaran Ceburi Bidang Jual Beli Emas

1970463_631628403569406_1982996328_n

KUALA LUMPUR 9 Mac – Koperasi-koperasi terkemuka di negara ini disaran supaya menceburi urus niaga simpanan emas bagi memperkukuhkan masa depan ekonomi ahlinya dan orang Melayu secara keseluruhannya.

Pengurus Besar Serambi Budi Sdn. Bhd., Rohaya Abu berkata, selain meraih keuntungan, penyimpanan emas dalam jangka panjang adalah sangat baik kerana ia membantu mengembangkan ekonomi ummah dan pulangan urus niaga emas adalah lebih baik berbanding dengan perniagaan lain.

“Berdasarkan analisis, harga emas menjelang tahun 2020 dijangka meningkat sehingga RM500 satu gram.

“Dalam tempoh 10 tahun lalu, harga emas telah mengalami kenaikan antara 300 hingga 400 peratus, ini sekali gus dapat meningkatkan taraf hidup kepada pemiliknya,” katanya selepas menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) simpanan emas dengan Koperasi Telekom Malaysia Berhad (Kota Mas), di sini kelmarin.

Turut hadir Pengerusi Kota Mas, Datuk Ismail Nordin dan Presiden Serambi Budi, Amin Supian. Menerusi MoU ini Koperasi Telekom menyediakan modal sebanyak 30 peratus kepada ahli-ahli untuk memiliki simpanan emas sementara 70 peratus lagi melalui pembiayaan daripada Ar Rahnu Kota Mas.

Kota Mas mempunyai Skim Ar Rahnu sendiri manakala emas dibekalkan oleh Serambi Budi, sebuah syarikat pengeluar emas jongkong bertaraf antarabangsa,

Beliau percaya lebih banyak koperasi di negara ini akan menyertai urus niaga simpanan emas kerana usaha itu menguntungkan.

Kini Serambi Budi telah mengenal pasti kaedah mudah untuk menceburi urus niaga simpanan emas kerana kejatuhan harga emas kini merupakan masa terbaik untuk membeli logam berharga itu.

Dalam kaedah yang ditawarkan, pembeli hanya perlu menyediakan 30 peratus tunai daripada harga emas semasa.

Setelah emas tersebut disahkan ketulenan oleh Ar Rahnu, pembeli akan menerima 70 peratus tunai untuk dibayar terus kepada Serambi Budi dan akan mendapat pulangan tiga kali ganda kenaikan harga emas. Pembelian secara Ar Rahnu adalah selamat dan tiada unsur riba.

Selain menjual emas, Serambi Budi juga menyediakan panduan perkhidmatan praktikal untuk memahami Ar Rahnu adalah perniagaan kepada rakyat Malaysia serta nasihat dari pegawai yang berdaftar.

Seorang kakitangan Telekom Malaysia, Shukor Hasaan yang menyertai program simpanan emas ini berkata, akan tiba satu tempoh yang mana tiada apa pun yang bernilai dan boleh digunakan oleh umat manusia melainkan dinar (emas) dan dirham (perak).

“Saya merasa terpanggil untuk berjinak dengan pembelian dan simpanan emas. Alhamdulillah ternyata tindakan saya telah pun menghasilkan pulangan berganda. Sistem yang diperkenalkan oleh Serambi Budi adalah satu cara pembelian dan simpanan emas yang kreatif yang dapat memperkasa ekonomi bumiputera Melayu di Malaysia dan di dunia,” katanya.

Beliau berkata, pembayaran zakat 2.5 peratus setahun ke atas emas yang disimpan kepada institusi zakat dapat menyumbang kepada kekuatan ekonomi dan dapat dimanfaat oleh asnaf terlibat.

Katanya, kerjasama sinergi antara Kota Mas dan Serambi Budi dalam usaha pembelian dan simpanan emas ini seharusnya dimanfaatkan oleh seluruh warga bumiputera dan TM khususnya untuk mempertingkatkan tahap ekonomi mereka.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Kota/20140310/wk_04/Koperasi-disaran-ceburi-urus-niaga-simpanan-emas#ixzz2vXVUuGCF
© Utusan Melayu (M) Bhd

Adakah Ar-Rahnu tidak Islamik?

ar-rahnu-islamik-najib

KRONOLOGI KES AR-RAHNU

Hamba Allah ini yang sedang dalam kesusahan dan telah menjual perniagaannya. RM30.000 dari wang hasil jualan diserahkan kepada isterinya yang kemudiannya membeli 3 utas rantai untuk dijadikan aset. Baki RM30,000 lagi dilaburkan kepada rakan niaga yang akhirnya tertipu dan lebur semuanya sekelip mata.

Tanpa pengetahuan suami, si isteri, seorang penjawat awam telah menggadaikan emas tersebut kepada Sistem Gadaian Islam sebuah bank tempatan. Hasil gadaian dilabur pula dalam satu Skim Perlaburan Emas yang ditawarkan oleh seorang lelaki yang akhirnya lesap.

Daripada nilai asal RM29,000 emas tersebut, beliau hanya diberi pinjam RM18.800, iaitu sekitar 65% sahaja. Itu tidak termasuk kos proses dan terpaksa mengisi pelbagai borang dan memberikan nama waris yang mungkin dijadikan sebagai penjamin.

Yang memeranjatkan kami, ‘Kos Faedah’ yang digelar sebagai ‘upah simpan’ ialah RM1,300 utk 6 bulan atau RM2,600 setahun, iaitu 14% setahun.

Apabila pelaburan lesap dan beliau terpaksa membayar ‘upah simpan’ seterusnya maka beliau merasakan tidak mampu. Anak yang ramai dan masih bersekolah ditambah dengan kejatuhan perniagaan suami yang juga tertipu membuatkan beliau menyerah kalah.

SUDAH JATUH DITIMPA TANGGA

Apabila dibawa berbincang dengan pihak bank pada hujung tempoh pajakan, beliau amat terkejut kerana jika beliau tidak bayar maka emas akan dilelong. Harga semasa pula jatuh jadi lebih kurang RM21,000 sahaja.

DIBERITAHU PULA BAHAWA BANK AKAN TOLAK 20% DARI HARGA SEMASA UNTUK PROSES LELONG. SEBARANG DEFESIT LELONGAN AKAN DITUNTUT DARI BELIAU. ITU TIDAK MASUK KOS LELONGAN, GUAMAN DAN SEBAGAINYA.

Kira punya kira beliau tetap akan rugi, bahkan akan terbeban dengan defisit lelongan yang amat banyak. Jika mahu ditebus sekarang pula harus bayar juga RM1,300 dan caj tebusan bersama wang pokok RM18,800. Jumlah itu menghampiri RM21K iaitu nilai semasa emas itu.

Demi mengelakkan beban lebih berat akibat defisit hasil lelongan yang sudah pasti beliau tidak boleh bayar, dan diblacklist, akhirnya beliau tiada pilihan bahkan terpaksa menebus juga emas tersebut. Malangnya beliau tiada wang.

Semakin hari beliau semakin tertekan sedangkan kesemua anak sekolah memerlukan belanja di awal tahun. Setelah disyurokan, kami memutuskan untuk membantu menebus emas yang tiada gambaran keuntungan sama sekali itu. Ianya atas dasar melepaskan saudara asnaf kita dari cengkaman zalim RIBA atas NAMA ISLAM ini. Mudah-mudahan wang yang dilaburkan dapat dikembalikan apabila harga emas naik semula InsyaAllah. Yang penting ialah niat membebaskan sahabat kita dari penindasan yang tidak bertepi ini.

Pada hari terakhir tempoh ‘upah simpan’, kebetulan hari jumaat, beliau bawa cek kami untuk tebus emas beliau. Pihak bank kata mereka beri masa sampai isnin sambil tunggu cek clear. Bila sudah clear beliau ke bank semula lalu diminta datang semula esoknya kerana tidak sempat proses pada hari itu.

Apabila datang semula mereka minta bayar denda lewat iaitu RM7 sehari. Walhal itu kelalaian mereka. Setelah gagal bernegosiasi, akhirnya sahabat kita yang sudah amat tertekan itu minta jumpa pengurus namun pihak kaunter tidak izinkan. Beliau naik angin dan mengacah untuk lompat naik ikut kaunter jika pintu tidak dibuka untuk bertemu pengurus… MORALNYA IALAH HANYA KERANA RM7, DENDA LEWAT SEHARI YANG DISEBABKAN OLEH KELEWATAN PIHAK BANK SAMPAI BEGITU SEKALI RIGIDNYA.

ISLAM TINGGAL NAMA

Hari ini berbagai-bagai nama dan skim yang berbunyi Islamik namun hakikat perlaksanaannya tiada petunjuk yang membenarkan keIslamannya seperti mahunya Allah. Nama Islam itu sendiri membawa maksud sejahtera jika kita serah diri dan amalkan sungguh-sungguh mengikut sistemnya.

Banyak pihak telah menulis dan menyuarakan, termasuk artikel kami sebelum ini. Kini kami kongsikan terus melalui koleksi pengalaman hidup kami sendiri.

“Akan datang pada manusia suatu zaman, ketika itu Islam tidak tinggal kecuali namanya, alqur’an tidak tinggal kecuali tulisannya, masjid-masjid megah namun kosong dari petunjuk, ulamanya termasuk orang paling teruk yang berada di bawah kolong langit , karena dari meraka timbul beberapa fitnah dan akan kembali (fitnah itu) padanya.” (H.R. Baihaqi Dari Ali R.A)

“Itu tidak lain hanyalah nama-nama yang kamu dan bapak-bapak kamu mengadakannya; Allah tidak menurunkan suatu keteranganpun untuknya. Mereka tidak lain hanyalah mengikuti sangkaan-sangkaan, dan apa yang diingini oleh hawa nafsu mereka dan sesungguhnya telah datang PETUNJUK kepada mereka dari Tuhan mereka” – QS:53. An Najm 23

SISTEM KEWANGAN ISLAM YANG TIDAK ISLAMIK

Rasanya semua sudah tahu bahawa Islamic Finance ini hanya pada nama dan istilah Islamik yang menyokong pada urusniaga yang sebenarnya jauh lari dari konsep muamalat Islam. Dari apa yang kami sendiri alami ini, maka kami cuba membuat bacaan dan ingin kami kongsikan beberapa kepincangan dari sudut pengalaman dan pandangan qualitatif.

Memberi pinjam dari perspektif Islam perlu lebih baik demi meringankan beban si peminjam. Ada juga yang memberikan alasan seperti kalau diringankan yang meminjam pula pijak kepala. Jadi sistem perekonomian hari ini tiada lagi nilai IBADAH di dalamnya. Sekadar ingin memeras dan mengaut keuntungan semata-mata. Yang kaya bertambah kaya, yang susah akan terus merana. Kalau kita mengetahui konsep atau asas Islam itu sendiri, kita mampu membezakan sesuatu sistem itu samada ianya “ISLAM” atau pun tidak.

DI MANA TIDAK ISLAMIKNYA KES DI ATAS?

Hari ini dengan IC saja pun anda boleh dapat kad kredit yang rata-rata cajnya sekitar 1% sebulan. Faedah untuk pinjaman kereta, pinjaman peribadi, rumah juga serendah 2-4%, jarang yang melebihi 10% setahun. Ini bermakna ‘upah simpan’ (istilah menggantikan faedah riba) 14% setahun dari kes ar-Rahnu ini lebih teruk dari RIBA’ CIPTAAN DAJJAL.

Kedai Pajak Gadai Berlesen sekarang mampu meminjamkan tunai sehingga 82% daripada nilai marhun berbanding ar-Rahnu yang hanya maksima 75% (dalam kes di atas hanya 65%).

Bila anda gagal menebus, pajak gadai berlesen tidak akan menyaman anda walaupun harga emas turun kerana biasanya mereka tidak melakukan lelongan seperti bank, tetapi menjualnya secara runcit. Jika terpaksa melelong sekalipun, mereka tanggung risiko, tidak mengejar pemilik emas jika lelongan tidak mencukupi. Tidaklah jadi sudah jatuh, tertimpa tangga tercium pula tahi ayam seperti kes di atas.

Pengalaman ini menafikan ayat Allah QS 2:280 “Dan jika dalam kesukaran, maka berilah tangguh sampai dia berkelapangan. Dan menyedekahkan itu, lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui”.

AR-RAHNU SUDAH JADI ‘PINJAMAN’ BERCAGAR EMAS. Ia sebenarnya semacam satu pinjaman biasa yang menggunakan nama pajak gadai dan dicantikkan lagi dengan istilah Islam. Bermacam-macam borang dan penyenaraian dalam Central Credit Reference Information System (CCRIS) atau CTOS. Ini akan menjadikan anda disenarai hitam dalam sistem perbankan yang menyebabkan permohonan pinjaman anda di mana-mana bank akan dinafikan. Padahal emas itu buttertrade tunai anda, bukanlah ia pinjaman tanpa cagaran. Ramai sekali yang tertipu akibat CCRIS dan CITOS ini.

PENTINGNYA MUSYAWARAH, UTAMAKAN KEPERLUAN, BUKAN KEMAHUAN

Banyak kes yang dirujuk kepada kami menunjukkan situasi parah apabila isteri bertindak tanpa pengetahuan dan izin suami. Di situlah pentingnya budaya musyawarah dalam keluarga. Dalam contoh kes di atas juga, jelas ada unsur mengejar kemahuan, bukan keperluan. Biarlah rezeki sedikit tetapi mencukupi (berkat), daripada banyak tapi tiada keberkatannya.

Dalam satu kes, ada isteri yang mengambil pinjaman Along tanpa pengetahuan suami hanya untuk membeli peralatan rumah. Kononnya ia akan dibayar menggunakan penjimatan wang dapur. Akhirnya bil air dan letrik, , ansuran rumah tidak berbayar, belanja anak sekolah juga turut terhakis kerana membayar Along. Akibatnya rumah yang ingin dihias itu juga akhirnya terlelong.

QS: 42. Asy Syuura 38 “Dan orang-orang yang mengutamakan seruan Tuhannya dan mendirikan shalat, urusan mereka dengan musyawarat antara mereka; dan mereka menafkahkan sebagian dari rezki yang Kami berikan kepada mereka”..

QS 2 Albaqoroh : 278. Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan tinggalkan sisa riba jika kamu orang-orang yang beriman.

QS 2 Albaqoroh : 279. Maka jika kamu tidak mengerjakan (meninggalkan sisa riba), maka ketahuilah, bahwa Allah dan Rasul-Nya akan memerangimu. Dan jika kamu bertaubat, maka bagimu pokok hartamu; kamu tidak menganiaya dan tidak dianiaya.

SENGSARA DAN PENINDASAN AKIBAT RIBA

Dari kes yang dirujuk kepada kami, juga hasil pengumpulan kes dari kalangan kaum keluarga dan pengalaman sendiri, jelas mengesahkan kesan buruk dari amalan riba ini.

Selain kes di atas, terlalu banyak kes mereka yang meminjam Along, Bank dan Ceti untuk menampung bayaran pembelian aset. Sampai aset yang dibeli bahkan aset yang sedia ada terjual semuanya, masih tidak dapat melunaskan hutang riba ini. Inilah akibat dari mengikut KEHENDAK hawa nafsu dan rasa tamak. Akhirnya semua kerugian.

Ramai juga peniaga yang tidak mahu bersabar dan berpuasa apabila dilanda kesusahan, atau terlalu ghairah untuk membesarkan perniagaan lalu melibatkan diri dengan pinjaman dan riba. Akhirnya mereka mudah terkucil. Apabila ada wang pinjaman di tangan, banyaklah pertimbangan salah dan pemborosan dilakukan. Akhirnya hidup jadi haru biru, berkerja siang malam hanya untuk menjadi hamba riba dan akhirnya perniagaan jatuh.

AMALAN RIBA JADI GAMBARAN AKHIR ZAMAN,

“Akan tiba suatu zaman, tidak ada seorang juga pun kecuali ia terlibat dalam memakan harta riba. Kalau ia tidak memakan secara langsung, ia akan terkena juga debu-debunya”. – H.R. Ibnu Majah

Jelas sekali telah berakhirnya cara hidup Islam yang diajarkan nabi saw. Harta riba’ wujud di merata tempat. Itu menjadi manifestasi kejatuhan dan berakhirnya Islam. Salah seorang dari kami pernah berbincang dengan bekas mufti sebuah negeri. Beliau sendiri jelas mengatakan beliau tidak jumpa jalan keluar. Zakat terkumpul beratus juta dalam setahun namun tidak tahu kemana perginya. Kelompongan sistem ekonomi Islam ini agak sukar ditampung melainkan kita ada satu sistem yang mandiri tanpa bersekongkol dengan sistem kuffar.

Kami harap rencana ringkas ini mampu menguatkan semangat umat Islam untuk mengorak langkah. Jika kita tidak mampu mengubah sistem, jauhilah sistem itu. Berpuasalah dari mengikut kehendak nafsu.

Perkongsian Iqra’
WARGA PRIHATIN .. souce: https://www.facebook.com/photo.php?fbid=10152525278987786

Pajak Gadai Emas Ikut Cara Islam

PERKHIDMATAN pajak gadai berkonsep Islam disediakan Ar Rahnu Express boleh mengelakkan masalah kegagalan menebus semula barangan berharga yang dicagarkan pengguna semasa keadaan mendesak.

Pengurus Besar Ar Rahnu Express Abdul Azri Abdul Latif berkata, Ar Rahnu prihatin terhadap permasalahan itu kerana sistem tradisional pajak gadai sebelum ini membebankan peminjamnya kerana mengenakan faedah yang tinggi.

Ar Rahnu Express adalah perkhidmatan pajak gadai berdasarkan undang-undang syariah yang diwujudkan Kumpulan Habib Jewels pada 2010 selepas menyedari masalah pengguna terutama yang berpendapatan rendah dalam sistem pajak gadai konvensional.

Kakitangan Ar Rahnu Express melayan pelanggan yang ingin mendapatkan maklumat mengenai skim pajak gadai yang ditawarkan. Foto oleh ROSLI TALIB
Kakitangan Ar Rahnu Express melayan pelanggan yang ingin mendapatkan maklumat mengenai skim pajak gadai yang ditawarkan. Foto oleh ROSLI TALIB

Abdul Azri berkata, Ar Rahnu Express menerima pajakan emas, berlian, jam tangan berjenama, batu permata, jongkong emas dan dinar emas untuk pelanggan mendapatkan pinjaman tunai segera dengan proses mudah dan cepat.

“Perkhidmatan pajak gadai yang kami tawarkan adalah pinjaman tanpa faedah tetapi hanya mengenakan upah simpan yang rendah iaitu satu peratus sebulan.

“Kami akan berikan pinjaman sehingga 75 peratus daripada nilai aset yang dipajak gadai,” katanya.

Selesai masalah ah long, ceti haram Azri berkata, Ar Rahnu Express tidak mengenakan kadar faedah tinggi atau sebarang amalan kewangan melibatkan riba.

Menurutnya, syarikat itu mahu menjadi alternatif terbaik kepada umat Islam khususnya yang berpendapatan rendah untuk membiayai pendidikan, atau sedang mengalami kesulitan kewangan dan memerlukan modal untuk menjalankan perniagaan.

Tambahnya, perkhidmatan itu mampu membantu rakyat di negara ini daripada terjebak dengan ceti haram, ah long dan peminjam wang tanpa lesen atau sebagainya. Beliau berkata, skim Ar Rahnu Express memberikan pembiayaan bercagar sehingga RM200,000 dengan syarikat itu kini mempunyai anggaran 3,000 peminjam sebulan dengan jumlah pinjaman RM15 juta hingga RM18 juta sebulan.

Selain memberikan pinjaman, Ar Rahnu Express menyediakan tempat untuk menyimpan barangan kemas atau peti simpanan seperti yang disediakan di bank selain membuat penilaian zakat dan menyediakan perkhidmatan mencuci barang kemas secara percuma.

Sementara itu, Pengurus Operasi Runcit Ar Rahnu Express Peer Mohd berkata, syarikat itu akan membuka tiga lagi cawangan Ar Rahnu Express iaitu di Negeri Sembilan, Kelantan dan Johor pada tahun depan.

“Sebanyak RM350,000 akan digunakan untuk membiayai setiap pembukaan cawangan Ar Rahnu
Express yang baru,” katanya.

Bank rakyat rekod keuntungan 2 bilion dan dividen 20%

BANK Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd (Bank Rakyat) mengumumkan pengagihan dividen sebanyak 20 peratus membabitkan pembayaran berjumlah RM435 juta kepada 926,578 anggotanya bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2011.

Ia merangkumi pengagihan dividen tunai sebanyak 15 peratus membabitkan pembayaran RM330 juta dan dividen bonus lima peratus membabitkan bayaran RM105 juta. Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata pengagihan dividen lumayan berkenaan dibuat susulan keputusan kewangan memberangsangkan yang dicatatkan bank koperasi itu. Beliau berkata, dalam tahun kewangan dikaji, Bank Rakyat mencatatkan keuntungan sebelum cukai serta zakat sebanyak RM2.02 bilion, meningkat 17.6 peratus berbanding RM1.72 bilion pada tahun sebelumnya.

“Keputusan itu yang adalah satu lagi rekod keuntungan tertinggi bagi bank koperasi ini dicapai hasil penumpuan terhadap pertumbuhan aktiviti pembiayaan serta peningkatan mutu aset, walaupun terdapat cabaran dalam industri perbankan tempatan,” katanya pada sidang media bagi mengumumkan prestasi kewangan itu di Kuala Lumpur, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Bank Rakyat, Tan Sri Dr Syed Jalaludin Syed Salim.

Ismail Sabri berkata, selepas ditolak cukai serta zakat, keuntungan bersih bank koperasi itu ialah sebanyak RM2 bilion, naik 49.5 peratus berbanding RM1.34 bilion tahun sebelumnya.

Ia juga, katanya adalah satu lagi rekod keuntungan bersih tertinggi bagi bank koperasi itu.

Beliau berkata, dalam tahun kewangan dikaji, jumlah pendapatan kasar Bank Rakyat meningkat 13.3 peratus kepada RM5.5 bilion berbanding RM4.86 bilion yang diraihnya pada tahun sebelumnya.

“Pembiayaan peribadi kekal penyumbang utama kepada prestasi itu, di samping pertumbuhan pendapatan perniagaan pajak gadai Islam, Ar-Rahnu serta aktiviti pelaburan,” katanya.

Ismail Sabri berkata, pendapatan dari sumber pembiayaan juga meningkat kepada RM4.46 bilion berbanding RM4.04 bilion sebelumnya, yang mana 91.4 peratus disumbangkan perbankan konsumer, manakala baki 8.6 peratus lagi oleh perbankan komersil.

Bank Rakyat juga katanya merekodkan pendapatan berasaskan yuran RM92 juta, yang mana 75.7 peratus disumbangkan pendapatan wasiat, komisen takaful dan yuran perkhidmatan ATM.

Beliau berkata, jumlah aset bank koperasi itu melonjak 17.1 peratus kepada RM72.48 bilion daripada RM61.91 bilion sejajar pertambahan kukuh depositnya.

Pulangan ke atas asetnya juga, kata beliau kekal tinggi pada kadar tiga peratus.

Mengenai prospek bagi tahun ini, Ismail Sabri berkata, Bank Rakyat menjangka mengekalkan prestasi cemerlangnya dengan menyasarkan keuntungan sebelum cukai dan zakat berjumlah RM2.1 bilion, didorong oleh peningkatan segmen pinjaman peribadi dan pendapatan Ar-Rahnu.

Katanya, bank koperasi itu akan terus berusaha meningkatkan sumbangan pembiayaan komersial dalam tempoh jangka panjang bagi menyeimbangkannya dengan segmen pembiayaan peribadi.

Katanya, bank itu juga akan membuka sembilan cawangan baru tahun ini sebagai tambahan kepada 135 cawangan sedia ada, termasuk di Bentong, Kuala Krai, Nusajaya, Nilai dan Cyberjaya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai calon yang bakal mengisi jawatan Pengarah Urusan bank koperasi itu apabila ia dikosongkan selepas Datuk Kamaruzaman Che Mat menamatkan tempoh perkhidmatannya 28 Februari lalu, Ismail Sabri berkata, Bank Negara Malaysia akan memutuskannya dalam tempoh terdekat ini.

CIMB bakal lancarkan Ar-Rahnu di Malaysia – Pertengahan Tahun

CIMB ISLAMIC BANK RANCANGKAN PERNIAGAAN AR RAHNU DI MALAYSIA,CIMB Islamic Bank merancang melancarkan perniagaan Ar Rahnu di Malaysia pada separuh kedua tahun ini susulan kejayaan peniagaan yang serupa di Indonesia menerusi CIMB Niaga Syariah, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya Badlisyah Abdul Ghani.

“Kami berjaya dalam perniagaan Ar Rahnu di Indonesia, dan sudah sampai masanya untuk kami menawarkan perniagaan itu di sini. Kami sudah memperoleh kelulusan Bank Negara Malaysia dan sebaik kami sudah memuktamadkan kerangka kerjanya, kami akan melancarkan produk itu, dan besar kemungkinan bermula di Pantai Timur.”

Saiz pasaran Malaysia besar dan kami yakin ada banyak peluang untuk kami meskikan kami agak lewat memulakannya,” katanya kepada Bernama dalam temu bual.

Walaupun beliau agak berhati-hati terhadap 2012, Badlisyah menjangkakan CIMB Islamic Bank dan keseluruhan francais kumpulan perbankan Islam, akan melalui tahun yang baik.

“Saya yakin namun berhati-hati terhadap 2012, berikutan apa yang berlaku di dunia, selain kerangka kerja kawal aturan yang ketat serta deman pilihan raya di dalam negara, namun saya percaya kami akan mencatat prestasi yang baik tahun ini, lebih baik berbanding 2011.”

“Kami memberi tumpuan terhadap meluaskan CASA (Akaun Simpanan Akaun Semasa)dan berharap untuk mencatat pertumbuhan dua angka dalam asas deposit dan pembiayaan,” katanya.

Prestasi CIMB Islamic dalam pelaburan Islam sangat baik dan meneraju kedudukan sukuk global sekali lagi pada 2012 dan memperkukuh kedudukannya sebagai bank Islam kedua terbesar dari segi aset di Malaysia dan Asean.

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2011, CIMB Islamic Bank mencatatkan satu lagi tahun yang mencatatkan rekod, merekodkan keuntungan sebelum zakat sebanyak RM447 juta, kira-kira sembilan peratus daripada keuntungan sebelum cukai kumpulan.

Beliau berkata aset bank itu meningkat 24.7 peratus kepada RM28.4 bilion manakala akaun kewangan berkembang 28.9 peratus kepada RM29.2 bilion, membabitkan 15 peratus daripada jumlah pembiayaan kumpulan dan 13 peratus daripada keseluruhan aset pembiayaan industri kewangan Islam.

Di peringkat kumpulan, Badlisyah berkata jumlah perolehan meningkat menerusi operasi perbankan Islam merentas Kumpulan CIMB berjumlah RM1.47 bilion, perolehan Islam terbesar yang dijana sejak kumpulan itu mewujudkan francais “CIMB Islamic” pada 2002.

Beliau berkata operasi Malaysia menyumbang lebih daripada 89 peratus daripada jumlah perolehan perbankan Islam kumpulan, dengan Indonesia dan Singapura masing-masing menyumbang kira-kira tujuh peratus dan satu peratus.

“Kami yakin ada banyak potensi besar yang menguntungkan di Indonesia, dan kami berharap meningkatkan sumbangannya terhadap keseluruhan perniagaan kepada 10 peratus atau lebih pada 2012. Ideanya ialah mewujudkan perniagaan Islam serantau yang selari dengan perniagaan konvensional CIMB Group,” kata Badlisyah.