Penyamun Putih Mata Barang Kemas Jatuh Atas Lantai

Alor Gajah: Tiga penjenayah bersenjata yang menyamun sebuah kedai emas di Pulau Sebang di sini semalam, berputih mata apabila dulang berisi emas bernilai puluhan ribu ringgit berterabur ketika mereka cuba melarikan diri.

Dalam kejadian jam 4.10 petang itu, tiga suspek bertopeng berusia 20 hingga 30-an itu dikatakan hanya sempat melarikan daripada emas berkenaan bernilai kira-kira RM5,000 dengan menaiki kereta.
Difahamkan, kereta dinaiki tiga lelaki berkenaan dilihat berlegar-legar berhampiran kawasan terbabit dan berhenti berhampiran premis sebelum dua daripada suspek memasuki kedai terbabit.

Dulang jatuh ke lantai

Menurut sumber, ketika kejadian, seorang daripada suspek mengacukan pistol ke arah pekerja dan mengarahkan dua dulang berisi cincin emas dikeluarkan dari almari kaca.

“Bagaimanapun, ketika mengangkatnya untuk memasukkan barang kemas ke dalam sebuah beg, dulang berkenaan terjatuh ke lantai dan menyebabkan suspek menggelabah lalu hanya sempat membawa lari sebahagian kecil barang emas.

“Mereka dilihat menaiki kenderaan sama menuju pekan Alor Gajah. Mangsa segera membuat laporan polis di Balai Polis Pulau Sebang sejurus kejadian,” katanya di sini, semalam.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin ketika dihubungi mengesahkan kejadian samun berkenaan yang dipercayai menggunakan pistol mainan.

“Mangsa berusia lingkungan 30 hingga 40-an yang juga pemilik kedai emas itu dan beberapa pekerjanya tidak dicederakan manakala kes disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan,” katanya. BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes:

<a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>