Inflasi Semakin Parah Dalam Sistem Kapitalis

Laporan daripada Lloyds TSM Private Banking menyatakan bahawa harga sebuku roti pada hari ini telah meningkat daripada 0.37 pence (RM1.70) kepada 1.24 pound British (kira-kira RM5.80), manakala harga 100g kopi telah naik 176% daripada GBP0.97 (RM4.50) kepada GBP 2.68 (RM12.60).

Koleksi Barang Kemas Terbaru Di Pasaran
Buy at Shopee

Harga rumah telah menyaksikan kenaikan yang paling tinggi iaitu sebanyak enam kali ganda , sementara harga emas satu troy ounce (kira-kira 31.1gram) menyaksikan kenaikan sebanyak 439%. Kesemua ini berlaku dalam tempoh masa 30 tahun, daripada tahun 1982 sehingga sekarang. Ini bermakna bahawa dalam jangkamasa selama 30 tahun, nilai duit Great Britain Pound (GBP) telah mengalami penurunan sebanyak dua pertiga berbanding dahulu, dengan kata lain GBP sekarang hanya mempunyai 33% kuasa membeli jika dibandingkan dengan 30 tahun dahulu. Llyods TSB juga menjangkakan bahawa GBP100 sekarang akan mempunyai nilai yang sama seperti GBP 229 dalam masa 30 tahun yang akan datang [1].

Dari segi sejarah, sandaran matawang kepada emas telah ditamatkan apabila berakhirnya perjanjian Bretton Woods pada tahun 1971. Dari tahun 1945 sehingga 1971, 1 troy ounce emas (bersamaan 31.1 gram emas) boleh ditukarkan dengan 35 US dollar (USD35). USD pada masa itu masih bersandarkan kepada emas sebelum tahun 1971. Pada tahun 1971, Amerika Syarikat telah memansuhkan sandaran USD kepada emas lalu USD telah menjadi fiat currency atau matawang kertas yang tidak disandarkan kepada emas. Selepas tahun 1971, banyak matawang di negara-negara lain di dunia telah menjadi floating currency (matawang terapung) kerana tidak lagi disandarkan kepada USD yang asal (sebelum 1971) dan juga emas. Nilai matawang bergantung kepada turun-naik harga jual-beli pasaran di Foreign Exchange market (Forex) atau pasaran matawang. Terdapat juga matawang beberapa negara yang mana kadarnya diikat dengan USD. Keadaan sebegini (floating currency) telah menjadikan matawang terdedah kepada serangan penyangak matawang (currency speculators) sepertimana yang pernah berlaku kepada negara-negara Asia Tenggara dan juga Timur Jauh seperti Korea dan Jepun. Ini telah menyebabkan Malaysia bertindak mengikat kadar ringgitnya pada ketika itu menjadi 3.80 untuk tukaran USD1.00 bagi mengurangkan penurunan nilai ringgit di pasaran antarabangsa. Argentina yang mengalami krisis matawang pada tahun 1999-2002 juga telah mengambil langkah yang sama iaitu mengikat matawang peso menjadi tetap untuk mengurangkan penurunan nilai matawang tersebut.

Ramai ahli ekonomi (walaupun tidak kesemuanya), masing-masing bersetuju bahawa kadar inflasi termasuk inflasi tegar (hyperinflation) adalah disebabkan oleh kadar pertambahan matawang untuk mengimbangi kadar pertambahan ekonomi. Apabila kadar permintaan terhadap sesuatu barangan bertambah, maka harga barangan tersebut juga bertambah. Jadi bank pusat akan mencetak lebih banyak matawang untuk mengimbangi kenaikan harga dan bank pusat boleh berbuat demikian sekiranya matawang tersebut tidak bersandar kepada emas. Akan tetapi, dengan berbuat demikian, setiap unit matawang yang dicetak akan mengalami penyusutan nilai. Kuasa membeli setiap matawang akan menjadi berkurangan di mana kuantiti barang yang dibeli dengan setiap unit matawang menjadi berkurangan. Jadi inflasi juga bermakna kadar pertambahan matawang menjadi lebih besar jika dibandingkan dengan kadar pertumbuhan ekonomi. Secara umumnya, ahli ekonomi merujuk inflasi sebagai kenaikan harga barangan dan perkhidmatan walaupun ia juga dikenali sebagai penurunan nilai matawang.

Pelaburan Emas Paling Murah, Cuma RM1.00 Untuk Bermula
Buy At Hellogold

Sekiranya matawang negara adalah bersandar kepada emas, walaupun jika berlaku kenaikan permintaan terhadap barangan, bank pusat tidak boleh mencetak tambahan matawang. Mencetak pertambahan matawang akan menjadikan sebahagian daripada jumlah matawang adalah tidak lagi bersandarkan kepada emas. Bank pusat hanya boleh mencetak tambahan matawang jika sekiranya bank pusat telah mendapat tambahan emas dalam stok simpanan emasnya di mana jumlah setiap unit matawang yang dicetak mestilah sama nilainya dengan jumlah emas yang ada dalam stok simpanan bank pusat.

Secara aliran ringkasnya:
Apabila permintaan terhadap barangan bertambah → Berlaku kenaikan harga barangan → Bank pusat mencetak lebih banyak matawang → Nilai matawang menyusut → Inflasi berlaku dan meningkat → Berlaku krisis ekonomi.
Musibah yang berlaku ini adalah ibarat kesan domino. Ia bukan sahaja menghancurkan sistem ekonomi negara, malah ia juga meranapkan seluruh ekonomi dunia yang berurusan dengannya.

Emas adalah suatu logam yang mana jumlahnya adalah tetap di muka bumi. Ia bukan seperti mawatang kertas fiat yang boleh dicetak sewenang-wenangnya oleh bank pusat. Emas yang baru tidak boleh dicipta oleh ahli sains daripada mana-mana bahan lain seperti besi, tembaga dan sebagainya. Sekiranya permintaan terhadap sesuatu barangan itu bertambah, maka ia juga akan menyebabkan permintaan terhadap emas juga bertambah. Dengan kata lain, satu unit emas akan mempunyai nilai yang bertambah berbanding dahulu dan satu unit emas akan mempunyai kuasa membeli yang bertambah berbanding dahulu. Itulah sebabnya apabila harga rumah naik sehingga enam kali ganda, harga emas juga naik mencecah 440% [1]. Walaupun banyak kekayaan telah dijana pada hari ini berbanding 30 tahun yang lalu, tetapi kos kehidupan masih bertambah dan kuasa membeli matawang kertas menjadi semakin berkurangan.

Menurut Lawrence H. White, seorang Profesor Sejarah Ekonomi, ia mengatakan bahawa sistem ekonomi yang bersandar kepada emas jarang mengalami inflasi melebihi 2% setahun [2]. Manakala Peter Bernholz pula berkata bahawa kadar inflasi yang sangat besar telah berlaku pada kurun ke-20 di negara-negara di mana sandaran kepada wang logam (emas) telah ditamatkan [3].

Dalam Daulah Islamiyyah, sistem matawang adalah bersandar kepada dinar dan dirham (emas dan perak) di mana 1 dinar adalah bersamaan dengan 4.25 gram emas dan 1 dirham adalah bersamaan dengan 2.975 gram perak. Melalui matawang ini yang berjalan bersama-sama sistem ekonomi Islam yang kaffah, Daulah Khilafah terdahulu telah berjaya memberi 1001 kesejahteraan kepada seluruh masyarakat baik dalam negara mahupun di serata dunia, serta berupaya mendominasi sistem ekonomi dunia agar tunduk kepada kehendak hukum syarak.

Rasulullah saw telah pun memberi khabar bahawa sistem matawang fiat yang digunakan pada hari ini bakal menghadapi satu zaman di mana ia tidak lagi mempunyai nilai sama sekali untuk digunakan oleh manusia. Pada waktu itu, hanya matawang yang bersandarkan emas dan perak iaitu dinar dan dirham sahaja yang dapat menyelamatkan umat Islam secara khususnya, dan umat manusia secara umumnya daripada bencana inflasi yang sedang menghampiri kemuncaknya akibat daripada perbuatan tangan-tangan manusia itu sendiri. Daripada Abu Bakar Ibn Abi Maryam melaporkan bahawa beliau mendengar Rasulullah saw bersabda, “ Akan tiba satu zaman di mana tiada apa yang tinggal dan boleh digunakan oleh umat manusia, maka simpanlah dinar dan dirham (yakni emas dan perak)”. [Musnad Imam Ahmad ibn Hanbal].

Wallahua’lam.

Rujukan:
[1] uk.finance.yahoo.com
[2] econlib.org/library/Enc/Inflation.html
[3] Bernholz, Peter. Monetary Regimes and Inflation. Cheltenham, U.K.: Edward Elgar, 2003.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes:

<a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>