Hanya Kerana Pin Rambut Emas Meiktila Bergolak

KONFLIK antara penganut Buddha dan umat Islam di Myanmar meletus lagi. Kali ini bukan di Sitwe, wilayah Rakhine tetapi di pekan Meiktila (juga ditulis Meikhtila). Pekan tersebut terletak hanya kira-kira 160 kilometer (km) dari Mandalay, bandar kedua terbesar di Myanmar.

Koleksi Barang Kemas Terbaru Di Pasaran
Buy at Shopee

Jarak antara Sitwe (tempat meletusnya konflik Rakhine dan Rohingya) dengan Meiktila lebih kurang 700 km. Dua pekan ini dipisahkan oleh Banjaran Arakan Yoma dan perjalanan di antara dua tempat ini boleh mencecah belasan jam.

Demografi dan topografi kedua-dua tempat itu juga amat berbeza. Rakhine merupakan kawasan pesisir pantai, berbeza dengan Meiktila yang terletak dalam wilayah Mandalay iaitu di kawasan tengah Myanmar yang digelar ‘jantung Myanmar’.

Dari segi penduduknya, etnik Rakhine merupakan penduduk majoriti di wilayah Rakhine selain terdapat jumlah etnik Rohingya yang signifikan. Di Meiktila pula, penduduknya rata-rata terdiri daripada etnik Bamar yang juga merupakan kaum majoriti di Myanmar.

Pelaburan Emas Paling Murah, Cuma RM1.00 Untuk Bermula
Buy At Hellogold

Persoalannya bagaimana konflik antara penganut agama Buddha dengan Islam mampu mengharungi Banjaran Arakan Yoma dan merebak dari Sitwe ke Meiktila? Timbul juga tanda tanya yang sememangnya menarik perhatian – adakah antara insiden di kedua-dua tempat itu saling berkait?

Konflik di Meiktila dicetuskan oleh perkara yang amat remeh iaitu apabila satu pasangan beragama Buddha ingin menjual pin rambut emas dengan harga RM496 kepada seorang pemilik kedai emas yang beragama Islam. Selepas tawar-menawar, masing-masing bersetuju dengan harga RM372.

Peniaga emas itu bagaimanapun meninggalkan kedai sebentar pergi ke tempat lain untuk mengenal pasti kualiti pin rambut emas itu. Pergaduhan tercetus apabila peniaga tersebut pulang dan mahu mengurangkan harga belian dengan mendakwa pin rambut itu telah rosak.

Masing-masing bertelagah mengenai siapa yang merosakkan pin rambut itu. Akhirnya, peniaga emas berkenaan bertindak melontar pin rambut tersebut. Lelaki yang ingin menjual pin itu pula mendakwa dirinya telah dipukul oleh pembantu-pembantu kedai yang lain.

Akibat pertelagahan tersebut, sebuah masjid dan banyak kedai dibakar. Belasan orang termasuk seorang sami Buddha dipercayai terkorban manakala ratusan polis mengepung Meiktila. Perintah berkurung dikeluarkan serta-merta untuk mengelakkan konflik merebak.

Sebelum tercetusnya insiden tersebut, Meiktila hanya sebuah pekan kecil yang terletak berhampiran dengan sebuah tasik. Meiktila mencipta nama di peringkat global kerana di Tasik Meiktila itulah, pemenang hadiah Nobel, Aung San Suu Kyi dan suaminya, Dr. Michael Aris berbulan madu.

Selain itu, Meiktila juga merupakan pusat transit pengangkutan bas bagi dua destinasi pelancongan terkemuka di Myanmar iaitu Tasik Inle di negeri Shan dan Kompleks Arkeologi Bagan. Banyak pelancong asing dari Tasik Inle dan Bagan akan singgah di Meiktila untuk menjamu kauk swe jaw (mi goreng Myanmar) sambil minum la peik ye (teh tarik Myanmar) sebelum meneruskan perjalanan ke Yangon, bandar terbesar Myanmar.

Namun konflik pin rambut emas menjadikan Meiktila seperti zon perang dengan penduduknya menyembunyikan diri di dalam rumah dan hidup ketakutan. Pasar Meiktila yang sebelum ini meriah dengan suara tawar-menawar dipenuhi polis yang berkawal.

Yang pasti api permusuhan antara penganut Buddha dan Islam yang bermula dari Sitwe telah merebak sehingga Meiktila.

Walaupun keadaan di Sitwe sedikit sebanyak pulih kepada normal namun hati penduduk di situ dan seluruh Myanmar masih belum ditenangkan, tidak kira mereka yang beragama Buddha atau pun Islam.

Legasi sejarah perkauman yang masih menghantui rakyat Myanmar sekali lagi dibangkitkan. Generasi muda melalui buku-buku sejarah tahu bagaimana tanah pusaka nenek moyang mereka tergadai kerana berhutang dengan ceti-ceti dari India termasuk yang beragama Islam.

Keadaan itu diburukkan lagi apabila ramai penduduk Islam di Myanmar mempunyai legasi dengan India yang boleh dikesan sejak penjajahan British atau lebih awal. Istilah Myanmar Muslim digunakan untuk menggelar kumpulan penduduk ini selain membezakan mereka dengan etnik Rohingya.

Fenomena fobia terhadap Islam pernah mencetuskan pelbagai rusuhan sebelum dan selepas penjajahan British, malahan selepas kemerdekaan. Keadaan itu mendesak banyak umat Islam yang berasal dari India melarikan diri.

Banyak penduduk Myanmar melihat etnik Rohingya di Rakhine sebagai pendatang haram dari Bangladesh. Kemarahan mereka terhadap etnik tersebut sebenarnya berjangkit kepada umat Islam secara umumnya.

Dalam kalangan umat Islam pula, mereka secara automatik percaya bahawa etnik Rohingya telah ditindas habis-habisan melalui tindakan balas dendam besar-besaran etnik Rakhine.

Kepercayaan ini bukan disebabkan mereka mempunyai hubungan dengan Rohingya tetapi kerana persepsi bahawa penganut Islam sebagai orang yang tertindas.

Sebab itu hanya kerana pin rambut emas, ia boleh mencetuskan tragedi yang mengorbankan nyawa dan merosakkan harta-benda.

Kejadian itu menggambar betapa rapuhnya hubungan orang Islam dengan Buddha di Myanmar. Ia turut menggambarkan rasa tidak puas hati penduduk beragama Buddha di Meiktila yang kebanyakannya petani terhadap peniaga beragama Islam. Maka dalam keadaan tertentu, senario itu mungkin boleh digambarkan sebagai konflik antara kelas yang didorong oleh perbezaan agama.

Perkembangan di Meiktila boleh dijadikan isyarat bahawa konflik penganut Buddha dengan Islam di Myanmar tidak lagi bersifat setempat atau terhad di negeri Rakhine. Konflik seumpama itu boleh berlaku di mana-mana sahaja termasuk di Yangon sekiranya tindakan pencegahan tidak dilakukan dengan serta-merta.

Simbol pusat bandar Yangon ialah Pagoda Sule yang dikatakan berusia 2,000 tahun di tengah-tengah kesibukan sebuah bulatan jalan raya. Menariknya, pagoda Buddha itu dikelilingi oleh gereja Kristian dan masjid Sunni yang bersejarah.

Oleh sebab keunikan itu, pengunjung yang berjalan kaki di pusat bandar Myanmar kadang-kala boleh mendengar nyanyian lagu penganut kristian, bacaan doa penganut Buddha dan laungan azan pada masa yang hampir sama.

Suasana tersebut melambangkan walaupun Myanmar diduduki secara majoriti oleh penganut Buddha tetapi turut memberi kebebasan kepada rakyatnya untuk mengamalkan kepercayaan masing-masing. Adalah menjadi tanggungjawab kerajaan Myanmar dan setiap penduduk negara itu mempertahankan keharmonian yang sedang dinikmati. -Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes:

<a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>