Jualan Emas Merosot Lebih 50% Selepas GST

kedai-emas-trg

KUALA TERENGGANU – Walaupun harga emas kini jatuh sehingga RM136 satu gram bagi emas 916 dan RM153 satu gram bagi emas 999.9, prestasi jualan emas merudum kerana kuasa beli kebanyakan pengguna semakin lemah selepas pelaksanaan GST.

KIRA VALUE EMAS KALKULATOR EMAS, AR-RAHNU, PAJAK GADAI
Calculate

Pemilik Kedai Emas Roslan @ Azizah, Azizah Mohd Nor, 54, berkata, selepas empat bulan pelaksanaan GST, beliau boleh simpulkan, jualan merudum sehingga 50 peratus berbanding tahun lalu.

Menurutnya, sebelum Hari Raya Aidilfitri, harga emas semasa mengikut Persatuan Peniaga Emas Melayu Terengganu ialah RM145/g bagi emas 916 dan kini nilainya semakin murah.

SIMPLE GOLD TESTING KIT USING ACID TEST TO CHECK GOLD PURITY
Learn More

“Sekarang, walaupun emas murah, pelanggan ramai yang datang ke kedai, tetapi yang membeli kurang. Seminggu sebelum Aidilfitri dulu ramai yang datang untuk beli emas, sekarang agak kurang sikit dan jualan juga sudah tidak begitu rancak.

“Begitu juga sebelum pelaksanaan GST sebelum ini, ramai datang cari emas terutama pelanggan dari luar Terengganu. Sehari selepas pelaksanaan GST, boleh kira dengan jari pelanggan yang masuk, malah tiada langsung yang membeli emas,” katanya.

Azizah yang mempunyai dua cawangan kedai iaitu di Mydin Mall dan di Batu Enam, berkata, kini, walaupun harga emas jatuh, pelanggan kebanyakannya berfikir panjang sebelum membeli emas kerana perlu membayar kos GST serta harga upah.

“Disebabkan GST, kalau mereka yang beli emas RM10,000, kena bayar GST RM600. Itu memang tidak boleh lari. Sebab itulah di kedai ini, saya terpaksa juga bertawar harga emas semasa dengan pelanggan dan saya meletakkan tawaran harga emas semasa dan harga upah pada kadar yang paling rendah.

“Sekarang, mereka yang beli emas pun yang memang benar-benar ada duit lebih dan mempunyai kepentingan seperti untuk tujuan perkahwinan, untuk hantaran ataupun majlis pertunangan. Kalau setakat suka-suka mahu kumpul koleksi emas, itu memang jarang sangat yang beli,” katanya.

Menurutnya, disebabkan harga emas kini tidak stabil, tidak ramai yang berminat dalam pelaburan itu, malah yang mencari emas 999.9 juga kurang berbanding dua tahun lalu.

“Kalau dua tahun lalu, harga emas 999.9 memang tinggi kira-kira RM180 lebih bagi satu gram. Kini harganya jatuh dan bagi mereka yang mahu menjual emas itu perlu tunggu harga emas naik supaya tidak rugi.

“Harga emas sekarang turun naik bergantung pada ekonomi negara dan dunia. Kita tidak boleh jangka bila ia akan naik dan bila akan turun. Yang kita boleh simpulkan buat masa ini harga emas tidak stabil,” katanya.

Sementara itu, Pemilik Kedai Emas dan Permata Nazri Sri Gelugor, Nazri Ismail, 49, berkata, prestasi jualan emas kini amat membimbangkan dan boleh dikatakan 50 hingga 70 peratus keuntungan jualan telah merosot.

“Selepas pelaksanaan GST empat bulan lalu, lebih kurang 50 peratus jualan merosot. Harga emas turun sekarang tetapi kuasa beli tiada.

“Kalau tahun lalu, dua minggu sebelum Aidilfitri orang berpusu-pusu cari emas, tahun ini, dua hari nak raya baru ada orang beli emas,” katanya yang menjual emas 916 pada harga RM136/g dan 999.9 pada harga RM153/g.

Sementara itu, pemilik Azura Jewel’s Sdn Bhd, Khairuazura Abd Rahman berkata, sebulan selepas pelaksanaan GST, sambutan pelanggan amat kurang dan jualan hanya satu per tiga daripada kebiasaan, iaitu jualan merosot lebih 50 peratus.

“Selepas masuk April, Mei dan Jun, masyarakat sudah boleh menerima kehadiran GST dalam belian emas mereka. Kini walaupun harga emas murah sekitar RM137/g bagi 916 dan RM155/g bagi 999.9, sambutan pelanggan agak hambar.

“Musim perayaan sambutan ada, tetapi kurang berbanding sebelum GST. Ada yang beli, itu pun kerana ia begitu penting. Selepas Aidilfitri ini sambutan terhadap emas masih ada dalam tempoh seminggu selepas musim raya, sekarang, orang dari luar Terengganu telah pulang ke ibu kota dan jualan kini kembali hambar,” katanya.

 

link: http://www.sinarharian.com.my/edisi/terengganu/jualan-emas-tidak-rancak-lepas-raya-1.415368

BELAJAR CARA KIRA HARGA EMAS DAN ASAS NIAGA EMAS DARI KILANG
View Intro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes:

<a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>