6 faktor utama harga emas naik 2017

Enam faktor utama dalam ekonomi global akan menyokong kenaikan permintaan emas, sekali gus mempengaruhi prestasi harga logam berharga itu pada tahun ini, demikian mengikut Majlis Emas Dunia (WGC).

Harga emas dijangka mendapat sokongan daripada risiko geopolitik, penyusutan mata wang, peningkatan jangkaan inflasi, penilaian pasaran saham yang tinggi, pertumbuhan jangka panjang Asia dan pembukaan pasaran baharu.

Dalam Tinjauan Pasaran Emas 2017, WGC berkata, risiko politik meningkat dengan negara Eropah akan mengadakan pilihan raya utama tahun ini seperti Belanda, Perancis dan Jerman.

Katanya, pada masa sama, Britain juga berunding untuk keluar dari Kesatuan Eropah yang memperlihatkan pound jatuh mendadak berikutan keputusan pungutan suara itu dan terus lemah setiap kali pasaran menjangkakan peningkatan peluang kesan Brexit.

Selain itu, katanya, dasar Presiden Amerika Syarikat (AS) yang baharu, Donald Trump juga dilihat akan mencetuskan ketegangan geopolitik yang mana akan menjejaskan keyakinan dalam pasaran.

“Emas berkesan sebagai pelaburan lindung nilai ketika krisis sistemik, apabila pelabur keluar daripada aset berisiko.

“Berdasarkan rekod, emas mencatatkan prestasi lebih baik berbanding aset kecairan tinggi berkualiti lain ketika krisis dan itu menjadikannya penyedia kecairan cemerlang bagi pilihan terakhir,” katanya.

Dari segi penyusutan mata wang pula, WCG berkata, dasar kewangan dijangka berlawanan antara AS dan negara lain di dunia dengan Rizab Persekutuan AS (FED) dijangka mengetatkan dasar kewangan manakala bank pusat lain mungkin tidak akan berbuat demikian.

Ia berkata, perbezaan antara emas dan mata wang fiat akan memacu permintaan pelaburan emas kerana pelabur berusaha untuk melindungi modal daripada penyusutan mata wang.

Katanya, ketahanan emas juga akan menyokong permintaan bank pusat dengan membeli emas untuk mempelbagaikan rizab asing mereka.

WGC berkata, pelancaran Standard Syariah bagi Emas oleh Pertubuhan Perakaunan dan Pengauditan bagi Institusi Kewangan Islam (AAOIFI) pada penghujung tahun lalu dilihat akan membuka ruang baharu bagi dunia Islam terhadap pelaburan emas.

Katanya, standard yang dilancarkan itu akan menyediakan panduan muktamad mengenai produk emas, yang mana berpotensi membenarkan berjuta-juta orang Islam melabur dalam emas.

WGC berkata, pada tahun lalu harga emas mencatatkan prestasi kukuh dengan meningkat hampir 10 peratus dalam denominasi dolar AS.

Harga logam berharga itu juga meningkat lebih lima peratus sejak FED menaikkan kadar faedah pada pertengahan Disember.

INFO

* WGC adalah organisasi pembangunan pasaran bagi industri emas

* Berpangkalan di United Kingdom

* Bertindak sebagai pihak berkuasa global dalam pasaran emas

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *